Kuala Nerus – Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), UMT telah menerima lawatan delegasi daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) pada 9 Februari 2025 bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 1 Kompleks Siswa. Tujuan lawatan delegasi ini adalah untuk memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua pihak serta menyampaikan maklumat mengenai inisiatif dan program sosioekonomi YaPIEM kepada warga universiti terutama dari aspek pendidikan, kemasyarakatan dan keusahawanan. Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain, UMT menzahirkan ucapan ribuan terima kasih kepada pihak YaPEIM di atas sumbangan Bantuan Awal Pendidikan berjumlah RM110,000.00 yang telah disalurkan kepada 110 orang pelajar UMT pada November 2024. UMT sangat menghargai sumbangan besar pihak YaPEIM dalam memastikan para pelajar dapat meneruskan pengajian mereka di UMT. Beliau turut menyarankan Ahli Pengurusan HEPA dapat menggarap dan mencari peluang untuk mengukuhkan kerjasama antara YaPIEM dan UMT bukan sahaja dalam aspek pembangunan kebajikan namun dalam pelbagai aspek lain termasuk keusahawanan, pemindahan ilmu serta khidmat komuniti. Lawatan delegasi ini telah diketuai oleh Pengurus YaPEIM Wilayah Timur, Encik Nik Mohd Nurul Ihsan bin Salleh, Puan Kartina binti Ahmad, Pengurus Negeri dan dua kakitangan Unit Penjanaan YaPEIM disambut baik oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain bersama semua Ahli Pengurusan utama HEPA. Dalam sesi pertemuan ini, pelbagai agenda menarik telah dibincangkan bagi meneroka peluang tajaan dan bantuan kebajikan kepada pelajar UMT. Pihak YaPEIM juga telah membuka ruang kepada UMT untuk bersama-sama berkolaborasi dalam aktiviti kemasyarakatan dan keusahawanan setempat melalui program Projek Pembangunan Komuniti YaPEIM (PPKY). Sidang Redaksi Bingkas mengucapkan ribuan terima kasih YaPEIM atas kunjungan yang bermakna ini. Tontonan: 5 Navigasi kiriman HEPA UMT Terima Kunjungan Pengarah Urusan, Pelaburan Modal Insan, Petronas HEPA Anjur Bengkel Artificial Intelligence (AI) Sebagai Nilai Tambah Pengurusan Pentadbiran