Kuala Nerus – 9 Februari 2025, Pejabat Hal Ehwal Pelajar, UMT telah berbesar hati menerima kunjungan daripada Pengarah Urusan Pelaburan Modal Insan, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Encik Ahmad Munir Akram bin Ahmad Faiz. Kunjungan ini merupakan lawatan julung kali PETRONAS ke HEPA UMT selepas secara rasminya 3 pelajar UMT dipilih menerima biasiswa pertama tawaran PETRONAS di bawah inisiatif “PETRONAS Memperkasakan Ilmu 2024” bermula November lalu. PETRONAS menawarkan tajaan Nation Building Plus (NB Plus) untuk menyokong pelajar berprestasi tinggi dari keluarga berpendapatan rendah (B40) yang sedang menuntut di universiti tempatan. Tiga pelajar yang bertuah tersebut adalah saudara Azniezam bin Ab Halim, pelajar tahun 3 Sarjana Muda Sains (Analitik Data) Dengan Kepujian, Fakulti Sains Komputer Matematik, saudari Sharifah Nur Fateehah binti Syed Ritthuddin, pelajar tahun 2 Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Senibina Kapal) Dengan Kepujian, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan dan saudari Siti Sarah Masyitah binti Edzwan Rohaid, pelajar tahun 2 Sarjana Muda Sains (Analitik Data) Dengan Kepujian, Fakulti Sains Komputer Matematik. Semasa sesi kunjungan tersebut, pihak HEPA dan PETRONAS juga saling bertukar pandangan dan idea kerangka yang boleh diketengahkan bagi memperkasakan ciri-ciri pelajar holistik di institusi tempatan. Menurut Timbalan Naib Canselor (HEPA), pelajar UMT didedahkan dengan pelbagai aktiviti dan kelab bagi mengasah bakat kebitaraan mereka. Ianya juga sebagai persediaan para pelajar mendepani isu dan cabaran global agar mereka mampu bersaing untuk mendapatkan tempat yang terbaik apabila bergraduat dan bekerja. Menurut, Encik Ahmad Munir, program biasiswa ini diwujudkan bertujuan untuk memperkayakan dan memupuk potensi mereka, menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negeri-negeri pengeluar minyak seperti Terengganu. Selain itu, ianya merupakan usaha berterusan PETRONAS bagi memastikan syarikat mereka dapat terus menyumbang kepada pembinaan negara serta menyokong pembangunan bakat masa depan. Sidang Redaksi HEPA mengucapkan terima kasih di atas kunjungan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan ucapan tahniah kepada ketiga-tiga pelajar penerima biasiswa PETRONAS. Kehadiran beliau telah disambut oleh Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Encik Fadli bin Mamat, Ketua Pentadbiran HEPA dan Puan Engku Nurul Aima Tengku Amri, Pegawai Seksyen Tajaan dan Kebajikan HEPA. Tontonan: 2 Navigasi kiriman Program DapoMaidam@UMT Beri Manfaat Baucer Makanan Percuma Kepada 897 Pelajar UMT HEPA UMT Terima Kunjungan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM)