KEMAMAN, 8 OKTOBER 2026 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerusi Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEPA) telah menyantuni pelajar, Al Nur Imanina binti Yazir, pelajar Sarjana Muda Pengurusan (Pemasaran) dengan Kepujian, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FPEPS), yang terkesan akibat kejadian kebakaran rumah keluarganya di Bukit Kuang, Kemaman.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.30 pagi pada 8 Oktober 2026 itu dipercayai berpunca daripada litar pintas pada kabel di luar rumah. Insiden berkenaan turut mengakibatkan ibu dan bapa pelajar mengalami kecederaan melecur pada bahagian kaki dan tangan.

Sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada keluarga yang terjejas, wakil HEPA UMT telah menyampaikan Bantuan Bencana berjumlah RM500 berserta bakul makanan bagi membantu meringankan beban keluarga dalam menghadapi situasi sukar ini.

UMT sentiasa prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa, khususnya ketika berhadapan dengan musibah yang tidak dijangka. Semoga bantuan yang disampaikan dapat memberikan sedikit kelegaan kepada keluarga berkenaan serta seluruh keluarga diberikan kekuatan, ketabahan dan dipermudahkan segala urusan.