Taiping, Perak – Festival Kebudayaan dan Kesenian Taiping, Perak telah melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang, meninggalkan seribu satu kenangan indah yang terpahat di hati setiap pengunjung.

Berlangsung pada 19 April 2026, jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam, festival ini telah mengambil tempat di Pentas Utama Sentral Mall yang bertukar menjadi medan pertemuan budaya penuh warna dan kehidupan.

Sejak awal pagi, suasana sudah dipenuhi dengan aura semangat apabila persembahan silat gayong membuka tirai dengan gerakan yang gagah dan penuh berkarisma. Setiap langkah dan hayunan memperlihatkan keindahan seni mempertahankan diri warisan bangsa yang tidak lapuk dek zaman.

Tidak kurang hebatnya, persembahan tarian tradisional Melayu, Cina dan India yang memukau berjaya menarik perhatian pengunjung dengan kehalusan gerak tari serta keindahan busana yang mempesona.

Festival Kebudayaan dan Kesenian Taiping 2026 bukan sekadar sebuah acara, tetapi satu pengalaman yang menghidupkan semangat cinta akan warisan bangsa. Semoga festival ini terus berkembang sebagai platform unggul dalam memartabatkan seni budaya Malaysia ke tahap yang lebih tinggi di masa hadapan. Sidang Redaksi HEPA mengucapkan tahniah kepada Pusat Kebudayaan dan Kesenian (PBS), HEPA UMT di atas penyertaan pada karnival ini.

Alunan dikir barat yang rancak dan mencuit hati turut menyemarakkan suasana sepanjang hari. Irama yang bertenaga dan lirik yang bersahaja berjaya mencipta suasana harmoni, menjadikan festival ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga lambang perpaduan masyarakat pelbagai kaum.

Majlis perasmian festival ini telah disempurnakan oleh En. Rosli bin Che Dan, Pegawai Khas kepada YAB Menteri Besar Perak, bersama Encik Ricky Yong, Pengurus Besar Taiping Sentral Mall, dan Encik Mohd Nordin bin Mohd Yusoff, Pengerusi Festival Kebudayaan dan Kesenian. Kehadiran mereka menyerlahkan komitmen berterusan dalam memartabatkan seni dan budaya tempatan sebagai warisan yang perlu dipelihara.

Festival ini turut menyaksikan penyertaan seramai 15 kumpulan yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah, sekolah menengah serta badan bukan kerajaan (NGO).

Penglibatan aktif mereka bukan sahaja mencungkil bakat baharu, malah memastikan kesinambungan warisan budaya terus hidup dalam kalangan generasi muda.

Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua pengunjung, para pelajar, institusi pendidikan serta rakan kolaborasi yang telah bersama-sama menjayakan festival ini. Sokongan yang diberikan membuktikan bahawa seni dan budaya mempunyai tempat istimewa dalam hati masyarakat.

Lebih membanggakan, penyertaan daripada Pusat Kebudayaan dan Kesenian HEPA, UMT melalui Kumpulan Kesenian Persadatari serta Kumpulan Dikir Barat Atma Kirana telah memberi sentuhan istimewa kepada festival ini. Persembahan Ulek Mayang yang kaya dengan elemen tradisi dan mistik dari Terengganu berjaya memukau penonton, manakala Dikir Barat True Terengganu menampilkan keaslian seni yang menghiburkan dan penuh identiti tempatan.