MANJUNG, 26 Okt – Penyertaan 37 mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) 2026 di sini membuahkan hasil apabila beberapa peserta meraih kemenangan dalam pertandingan deklamasi puisi, nyanyian lagu rakyat dan persembahan busking.

Festival yang berlangsung dari 23 hingga 26 Okt di Kampung Pasir Panjang Laut itu menjadi platform kepada mahasiswa untuk mengetengahkan bakat seni, kreativiti serta penghayatan terhadap warisan puisi dan muzik tradisional.

PULARA 2026 dirasmikan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir dan menghimpunkan pelbagai aktiviti kesenian serta kebudayaan, termasuk sayembara puisi, nyanyian duet lagu rakyat, persembahan busking, pameran tradisional dan sukan rakyat.

Antara mahasiswa UMT yang mencatat kejayaan ialah Nur Emy Liyana Nazrul Hisyam dari Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, yang muncul johan Sayembara Deklamasi Puisi Kategori Terbuka Zon Timur dan menerima Anugerah Persembahan Terbaik bagi kategori sama.

Beliau turut meraih naib johan Pertandingan Deklamasi Puisi Peringkat Kebangsaan PULARA 2026.

Rakan sekuliahnya, Farah Aleya Adam Liew, pula muncul johan Sayembara Deklamasi Puisi PULARA 2026 bagi Kategori Universiti Awam (UA) Zon Timur.

Dalam kategori muzik tradisional, Muhammad Akmal Zafran Zuraimi dari fakulti sama memenangi pertandingan Nyanyian Solo Lagu Rakyat/Asli Kategori Terbuka Zon Timur.

Kumpulan busking UMT yang dianggotai Muhammad Amir Fawwaz Saiful Rosmizar, Akmal Farid Azman, Iveen Lee Velee, Muhammad Taha Zulkarnaen, Muhammad Afendi Muhammad Arif dan Muhammad Nabil Azib Azlan pula memperoleh tempat ketiga Pertandingan Busking UA Zon Timur.

Turut meraih tempat ketiga ialah Balqis Nur Umairah Kamizan dan Fakhrullah Hafiz Mohd Sukor dalam Pertandingan Nyanyian Lagu Duet Asli UA Zon Timur.

Selain pertandingan, festival itu turut melaksanakan program PULARA Masuk Kampung (Anak Angkat) yang melibatkan mahasiswa universiti awam Zon Timur, iaitu UMT, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Program berkenaan memberi peluang kepada mahasiswa berinteraksi dengan masyarakat setempat serta mendalami nilai kehidupan, adat dan tradisi komuniti melalui pengalaman secara langsung.

Penyertaan mahasiswa UMT dalam festival itu mencerminkan usaha universiti memperluas pembangunan bakat pelajar menerusi aktiviti di luar bilik kuliah, khususnya dalam bidang seni, sastera dan kebudayaan.

Penglibatan berkenaan turut membantu membina keyakinan diri, kemahiran komunikasi, kreativiti dan semangat berpasukan, selain mengukuhkan hubungan antara universiti dengan masyarakat.

UMT akan terus menyokong penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kesenian, kebudayaan dan kemasyarakatan bagi melahirkan graduan yang seimbang, berketerampilan serta mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.