Bertemakan “Mengangkat Keunggulan Mahasiswa Idaman”, AIS 2025 mencerminkan komitmen berterusan UMT dalam memperkukuh ekosistem pembangunan mahasiswa yang holistik, progresif dan berimpak tinggi. Majlis yang berlangsung dengan penuh gemilang di Dewan Sultan Mizan UMT itu menghimpunkan mahasiswa terbaik universiti yang telah mencatatkan pencapaian cemerlang sepanjang sesi akademik 2024–2025. AIS 2025 menampilkan sebelas kategori anugerah individu merangkumi kluster kepimpinan, seni dan warisan, kesukarelawanan, sukan dan rekreasi, wira bicara, khidmat komuniti, daya usaha dan inovasi, perpaduan, inklusif, kelestarian serta usahawan siswa. Selain itu, empat kategori anugerah berpasukan turut dipertandingkan iaitu Anak Negeri Terbaik, Akademik Terbaik, Sukarelawan Terbaik dan Sosial Terbaik. Sementara itu, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain menyifatkan AIS 2025 sebagai manifestasi penghargaan universiti terhadap mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah unggul dalam kepemimpinan, aktif dalam kegiatan kemahasiswaan serta komited terhadap pembangunan komuniti. Lebih bermakna, majlis turut menampilkan tiga pengiktirafan utama iaitu Anugerah Tokoh Siswa UMT 2025, Anugerah U and Me Together Naib Canselor dan Anugerah Bingkas Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) sebagai penghormatan tertinggi kepada mahasiswa yang cemerlang serta menjadi ikon dan inspirasi kepada seluruh warga kampus. Majlis telah disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Kementerian Pendidikan Tinggi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perkasa Siswa, Encik Hirman Awang yang dalam ucapannya AIS 2025 merupakan platform strategik untuk menyerlahkan potensi mahasiswa sebagai aset penting pembangunan negara. Menurut beliau, pengiktirafan seumpama ini bukan sahaja meraikan kecemerlangan mahasiswa, malah menjadi pemangkin keyakinan, aspirasi dan semangat untuk terus mencipta kejayaan yang berterusan. Selain itu, beliau turut mengumumkan geran padanan berjumlah RM 500.00 untuk 11 orang pemenang individu dan RM 1,000.00 untuk dua pemenang utama bagi Anugerah Ikon Siswa 2025. Jumlah keseluruhan Geran Padanan berjumlah RM7,500.00 Kemuncak majlis menyaksikan Muhammad Zaki Anuar dinobatkan sebagai Pemenang Anugerah Ikon Siswa 2025, sekali gus mengangkat beliau sebagai simbol mahasiswa cemerlang yang menampilkan kecemerlangan akademik, kepimpinan, sahsiah dan sumbangan signifikan kepada universiti serta masyarakat. Beliau menzahirkan rasa syukur atas pengiktirafan tersebut dan menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil sokongan serta bimbingan pelbagai pihak. Menurut beliau, UMT telah menyediakan platform yang luas untuk mengembangkan potensi diri, mencetus idea, melaksanakan pelbagai inisiatif serta membina keyakinan dan keberanian untuk terus menyumbang kepada masyarakat pada masa hadapan. Majlis turut menyaksikan peluncuran beberapa inisiatif strategik universiti iaitu Program Berimpak Tinggi HEPA 2026, Portal Berita Suara Bingkas dan UMT-Samudera Idea Lab (UMT-SIL) sebagai platform memperkasa suara mahasiswa, memupuk budaya inovasi serta merangsang pemikiran strategik warga kampus. Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan, Tayangan Perdana Video Mahasiswa IDAMAN UMT, penyampaian penghargaan kepada panel juri, penyampaian anugerah serta pameran khas pemenang AIS 2025. Sidang Redaksi HEPA mengucapkan tahniah kepada Pusat Pembangunan dan Pemerkasaan Mahasiswa (PPPM), HEPA UMT di atas program yang dijalankan ini. Tontonan: 5 Navigasi kiriman Festival Kebudayaan dan Kesenian 2026 Cipta Memori Luar Biasa Majlis Ramah Mesra Mahasiswa Anak Melaka Perkukuh Hubungan Mahasiswa dan Kepimpinan Negeri