KUALA NERUS : Seramai 14 orang pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima sumbangan Skim Dana Ehsan Pendidikan (SDEP) Yayasan Pelajaran MARA (YPM) tajaan Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS) melibatkan jumlah keseluruhan RM35,000, dalam satu majlis penyerahan sumbangan yang diadakan hari ini. Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Pelajaran MARA, Encik Mohd Amran bin Mohd Ariffin, sebagai manifestasi komitmen berterusan YPM dalam menyokong kebajikan dan kelangsungan pendidikan mahasiswa, khususnya daripada golongan berpendapatan rendah. Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Yayasan Pelajaran MARA atas sumbangan berimpak tinggi itu, yang disifatkan selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) yang baharu dilancarkan, yang menekankan kebajikan pelajar serta kemenjadian mahasiswa secara holistik. Menurut beliau, sejak tahun 2021, Yayasan Pelajaran MARA telah menyalurkan bantuan keseluruhan sebanyak RM282,500 kepada 110 orang mahasiswa UMT, sekali gus menjadikan yayasan tersebut antara rakan strategik utama HEPA UMT dalam memperkukuh ekosistem sokongan pelajar. Beliau turut memaklumkan bahawa pemilihan penerima bantuan telah dilaksanakan secara telus dan berperingkat pada November 2025, melibatkan pelajar kategori B40 dengan purata pendapatan keluarga RM1,500 ke bawah, serta melalui sesi temu duga sebagai peringkat akhir pemilihan. Dalam majlis sama, pihak universiti turut mengetengahkan kejayaan beberapa bekas penerima sumbangan Yayasan Pelajaran MARA yang kini berjaya membina kerjaya profesional, sekali gus membuktikan keberkesanan bantuan kebajikan dalam melahirkan graduan berdaya saing. Mengakhiri ucapannya, beliau menzahirkan harapan agar para penerima manfaat menjadikan bantuan yang diterima sebagai amanah dan pemangkin kejayaan, bukan sahaja untuk kecemerlangan akademik, malah dalam pembentukan sahsiah, kepimpinan dan daya tahan diri, selaras dengan hala tuju RPTM. Sidang Redaksi HEPA mengucapkan tahniah kepada Pejabat Hal Ehwal Pelajar (PHEP), UMT di atas pelaksanaan program yang cukup bermakna ini. Tontonan: 4 Navigasi kiriman SOS: Speak On Safety Sebagai Platform Kesedaran Aturan dan Keselamatan Kolej Kediaman UMT UMT Memperkasa Kebajikan Mahasiswa Melalui Gotong-Royong dan Kepemimpinan Pelajar