Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuh budaya keusahawanan dengan pelancaran Inkubator Usahawan Siswa UMT-GEM, sebuah platform pembangunan dan pemerkasaan mahasiswa dalam bidang perniagaan. Penubuhan inkubator ini selaras dengan aspirasi universiti dan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk melahirkan graduan berciri usahawan, berdaya saing serta mampu menjana peluang pekerjaan melalui keusahawanan. Inkubator UMT-GEM berfungsi sebagai ruang pembangunan idea, pusat bimbingan perniagaan dan platform promosi produk pelajar. Melalui penyediaan ruang kerja bersama (co-working space), sesi mentoring, latihan keusahawanan, pembangunan kandungan digital serta aktiviti pemasaran, mahasiswa diberi peluang memperoleh pengalaman sebenar dalam mengurus dan mengembangkan perniagaan secara sistematik dan praktikal. Selain itu, inkubator ini turut mengumpulkan produk-produk usahawan siswa untuk diketengahkan sebagai cenderamata eksklusif universiti bagi program rasmi, lawatan delegasi dan aktiviti korporat. Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan keterlihatan produk pelajar, malah memperkukuh identiti produk tempatan kampus. Bagi memastikan pengoperasian inkubator berjalan aktif dan berterusan, seramai lima orang pelajar dilantik sebagai Skuad Biz Warriors. Mereka berperanan membantu pengurusan operasi inkubator, penyelarasan aktiviti promosi, pengendalian media sosial, penyusunan produk serta pengurusan program keusahawanan pelajar. Dengan adanya Inkubator Usahawan Siswa UMT-GEM, universiti komited melahirkan lebih ramai usahawan muda yang kreatif, inovatif dan berdaya saing, sekali gus memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi serta komuniti setempat. Tontonan: 4 Navigasi kiriman Kedai Aiskrim Mixue kini di UMT, Buka Peluang Pekerjaan kepada Pelajar Program S.E.F 2026 Perkasa Mahasiswa UMT Dengan Kemahiran dan Hala Tuju Kerjaya