KUALA NERUS, 17 Okt – Festival Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (FESKON 2026) menjadi platform bagi mahasiswa mengembangkan potensi keusahawanan, meningkatkan kemahiran pengurusan perniagaan dan membina keyakinan diri menerusi penglibatan secara langsung dalam aktiviti jualan. Festival yang berlangsung di Tapak Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu dirasmikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Universiti (Wakil Sektor Swasta) UMT, Dato’ Mohamad Idham Nawawi. Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Profesor Ts. Dr. Noor Maizura Mohamad Noor dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain. Mohamad Idham turut meluangkan masa menyantuni mahasiswa yang mengendalikan gerai perniagaan, selain meninjau pelbagai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan sepanjang festival berkenaan. Beliau berkata pendedahan kepada aktiviti keusahawanan ketika di universiti dapat membantu mahasiswa membangunkan kemahiran komunikasi, pemasaran dan pengurusan kewangan, selain memberikan pengalaman berharga sebelum melangkah ke alam pekerjaan. “Mahasiswa perlu mengambil peluang seperti ini untuk menguji idea perniagaan, memahami kehendak pelanggan dan membina keyakinan dalam menguruskan perniagaan sendiri. “Pengalaman yang diperoleh bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pembangunan diri, malah dapat memupuk pemikiran kreatif dan inovatif dalam kalangan mahasiswa,” katanya. Sementara itu, Mohd Izani berkata penglibatan mahasiswa dalam program berbentuk keusahawanan dan kemasyarakatan merupakan antara pendekatan penting dalam melahirkan graduan yang seimbang dari segi akademik, sahsiah dan kemahiran insaniah. Beliau berkata pengalaman mengendalikan aktiviti perniagaan turut memberi ruang kepada mahasiswa untuk mempraktikkan kemahiran kepimpinan, kerja berpasukan dan penyelesaian masalah dalam situasi sebenar. “Pembangunan mahasiswa tidak terhad kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya turut melibatkan pembentukan jati diri, kemahiran interpersonal dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran. “Justeru, platform seperti FESKON perlu dimanfaatkan bagi memperkukuh potensi mahasiswa serta membina jaringan yang dapat membantu mereka pada masa hadapan,” katanya. FESKON 2026 turut memeriahkan suasana menjelang istiadat konvokesyen UMT menerusi penglibatan mahasiswa dalam aktiviti perniagaan dan pelbagai tawaran produk kepada pengunjung. Penganjuran festival itu juga menyediakan ruang interaksi antara warga universiti dengan komuniti, sekali gus menyokong usaha membangunkan ekosistem kampus yang dinamik dan menggalakkan budaya keusahawanan dalam kalangan mahasiswa. Tontonan: 9 Navigasi kiriman Dari Kampus ke 4 Negara : Mahasiswa Perikanan UMT Buktikan Kualiti Kepimpinan di Pentas Antarabangsa UMT Santuni Mangsa Banjir, Bantu Kerja Pembersihan di Pangkor