KUALA NERUS, 17 OKT — Mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Vanessa Liau Xinee, membuktikan keupayaan kepimpinan di peringkat antarabangsa menerusi penyertaan dalam pelbagai program akademik dan pembangunan diri di empat negara.

Vanessa, yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Perikanan) dengan Kepujian di Fakulti Sains Perikanan dan Akuakultur (FSPA), menyertai pelbagai program di Thailand, China, Indonesia dan Singapura bagi memperluas pengetahuan serta pengalaman dalam bidang perikanan, kelestarian dan kepimpinan.

Antara pencapaian membanggakannya ialah apabila diberi kepercayaan sebagai Pengarah Program Leadership for Sustainable Development: Experiential Learning in a Multicultural Context di Prince of Songkla University, Thailand.

Beliau turut menyertai International Marine Summer Camp di Ocean University of China, ASEAN Green Entrepreneurship Hackathon 2025 di Indonesia serta Sea Anemone Taxonomy Workshop di Singapura.

Penglibatan dalam program berkenaan memberi peluang kepada Vanessa untuk mendalami ilmu marin, meneroka pendekatan keusahawanan hijau serta memperkukuh kemahiran berkomunikasi dan bekerjasama dalam persekitaran pelbagai budaya.

Di peringkat universiti pula, beliau aktif menerajui pelbagai program yang menggalakkan kepelbagaian budaya dan pertukaran ilmu dalam kalangan mahasiswa.

Kesungguhan Vanessa dalam bidang kepimpinan, pembangunan diri dan aktiviti kokurikulum turut dizahirkan menerusi pencapaian 10,940 mata merit kokurikulum.

Pencapaian itu mencerminkan komitmen beliau dalam memanfaatkan peluang sepanjang pengajian, bukan sahaja untuk kecemerlangan akademik, malah bagi membina pengalaman dan kemahiran yang relevan dalam menghadapi cabaran masa hadapan.

Pengalaman merentas negara itu turut memperlihatkan peranan mahasiswa dalam membawa nama universiti ke peringkat antarabangsa, di samping memupuk nilai kepimpinan, keterbukaan dan tanggungjawab terhadap pembangunan masyarakat.