KUALA NERUS, 23 April – Pembentukan sahsiah dan kemenjadian mahasiswa universiti tidak seharusnya bergantung kepada pencapaian akademik di bilik kuliah semata-mata, sebaliknya menuntut ketahanan mental dan disiplin yang tertinggi umpama seorang atlet elit negara. Perkara tersebut menjadi intipati utama dalam Syarahan Awam bertajuk “Memperkasakan Mahasiswa Berdaya Saing Melalui Integrasi Akademik Dan Sukan Prestasi Tinggi” yang berlangsung di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), hari ini. Majlis syarahan yang penuh inspirasi ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UMT, Prof. Dr. Mohd Izani Bin Mohd Zain. Dalam ucapan perasmiannya, Prof. Izani menegaskan bahawa pihak universiti sentiasa progresif dalam mencari pendekatan baharu untuk memperkasakan ketahanan diri pelajar agar lebih berdaya saing dan seterusnya menjadi mahasiswa idaman. “Dunia pasca-pandemik dan landskap kerjaya masa kini amat mencabar. Inisiatif menjemput pakar dari bidang sukan berprestasi tinggi ke dalam dewan kuliah adalah selari dengan visi UMT untuk melahirkan graduan yang berdaya saing dan mandiri,” ujar Prof. Dr. Mohd Izani di hadapan lebih 200 orang penuntut dan tetamu jemputan yang hadir. Tuntasnya, majlis syarahan awam anjuran UMT ini berjaya membuka mata para mahasiswa bahawa formula kecemerlangan sukan negara sebenarnya boleh diangkat sebagai manual kehidupan di kampus. S inergi antara kecemerlangan akademik dan minda sang juara ini diyakini mampu melahirkan generasi pelapis negara yang benar-benar kebal mendepani ujian zaman. Sidang Redaksi HEPA mengucapkan tahniah kepada Pusat Latihan Pelayaran (PLP), HEPA UMT di atas program yang dijalankan ini. Syarahan kemuncak pada majlis tersebut kemudiannya disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN), Dr. Vellapandian Ponnusamy, yang berkongsi secara mendalam tentang integrasi antara sukan dan akademik serta psikologi atlet ke dalam kehidupan seharian mahasiswa. Menurut beliau, perbezaan paling ketara antara individu berjaya dengan yang biasa adalah pada tahap disiplin dan jumlah persediaan yang dibuat. Katanya, sebagai atlet prestasi tinggi, mereka tidak menunggu ‘mood’ dan ‘vibe’ untuk turun berlatih, mereka terikat dengan komitmen dan rejim latihan yang ketat. Justeru, mahasiswa diseru untuk mengamalkan mentaliti yang sama dalam menyiapkan tugasan dan mengulang kaji pelajaran, dengan melihat setiap jam sebagai ruang untuk mengoptimumkan potensi diri. Menyentuh isu tekanan dan kesihatan mental yang sering membelenggu pelajar universiti, Dr. Vellapandian menjelaskan bahawa dunia sukan mengajar individu untuk “berkawan” dengan tekanan. Beliau menekankan bahawa kegagalan dalam peperiksaan atau kesukaran dalam tugasan (assignment) tidak seharusnya menjadi titik noktah yang mematahkan semangat. “ Di ISN, atlet kita diajar untuk melihat kekalahan bukan sebagai pengakhiran, tetapi sebagai ‘data’ penting untuk penambahbaikan berterusan. Daya tahan atau ketahanan (resilience) inilah kualiti terpenting yang kita mahu lihat dalam jiwa mahasiswa kita hari ini,” tegas Dr. Vellapandian. Dr. Vellapandian turut membentangkan kerangka strategik bagi melahirkan “Warganegara Bersedia Masa Hadapan” (Future-Ready Citizen). Menurut beliau, peranan institusi sukan dan universiti perlu melangkaui kelayakan akademik semata-mata dan sasaran memburu pingat. Sebaliknya, mahasiswa cemerlang haruslah seimbang iaitu berkemampuan secara intelektual, berdisiplin secara fizikal, celik teknologi, dan mempunyai daya tahan emosi. Matlamat akhir bagi integrasi silang ini tidak hanya diukur menerusi kejayaan individu, sebaliknya merangkumi matlamat yang lebih besar iaitu melahirkan kecemerlangan pelajar. Beliau merumuskan bahawa sintesis di antara pendidikan dan sukan secara dasarnya adalah landasan bagi membina kapasiti negara yang lebih utuh. Tontonan: 1 Navigasi kiriman UMT Perhebat Peranan Alumni dengan Pelantikan Penaung Kehormat Pengukuhan Strategi Belajar Mahasiswa Melalui Program Smartlearn Series