SARAJEVO, Bosnia dan Herzegovina, 3 Okt 2026 — Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengadakan kunjungan ke Kedutaan Malaysia di Sarajevo, Bosnia dan Herzegovina pada 3 Oktober 2026 bagi mengeratkan hubungan serta meneroka peluang kerjasama antara kedua-dua pihak, khususnya dalam pembangunan dan program pelajar. Delegasi UMT diketuai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain, bersama delegasi pelajar UMT yang mewakili Malaysia dalam Kejohanan FISU di Croatia baru-baru ini. Delegasi berkenaan disantuni Charge d’Affaires Kedutaan Malaysia di Bosnia dan Herzegovina, Puan Sharifah Shakila, bersama Encik Mohd Shahril Rahmat. Profesor Dr Mohd Izani berkata kunjungan itu merupakan platform penting bagi memperkukuh hubungan UMT dengan Kedutaan Malaysia di Bosnia dan Herzegovina, selain membuka ruang kepada penerokaan kerjasama yang dapat memberi manfaat kepada mahasiswa. “Kunjungan ini merupakan satu kesempatan yang baik untuk UMT mengeratkan hubungan dengan Kedutaan Malaysia di Bosnia dan Herzegovina, khususnya apabila kita berada di rantau ini bagi menyertai program antarabangsa. “Kita juga melihat terdapat ruang yang luas untuk meneroka kerjasama pada masa hadapan, terutama melalui program yang melibatkan pelajar. Jaringan seperti ini penting dalam memberikan pendedahan antarabangsa dan pengalaman baharu kepada mahasiswa UMT,” katanya. Beliau berkata penglibatan pelajar dalam program dan kejohanan antarabangsa bukan sahaja memberikan pengalaman dalam bidang masing-masing, malah membuka peluang kepada mereka membina jaringan dengan pelbagai pihak di peringkat global. “Bagi UMT, pembangunan pelajar tidak hanya tertumpu kepada aspek akademik, tetapi turut merangkumi pengalaman antarabangsa, kepimpinan, jaringan dan pembentukan sahsiah. “Justeru, hubungan dengan pihak kedutaan dan institusi berkaitan di luar negara boleh menjadi salah satu pemangkin kepada usaha memperluas peluang tersebut,” katanya. Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut membincangkan potensi jalinan kerjasama pada masa hadapan menerusi pelbagai program melibatkan pelajar. UMT berharap hubungan yang terjalin dengan Kedutaan Malaysia di Bosnia dan Herzegovina dapat membuka lebih banyak ruang kepada pelajar universiti untuk memperoleh pengalaman antarabangsa serta memperluas jaringan akademik dan pembangunan sahsiah di peringkat global. Kunjungan tersebut mencerminkan komitmen UMT dalam memperkukuh jaringan strategik di peringkat antarabangsa, khususnya dalam memperkasa pengalaman dan pembangunan pelajar melalui penglibatan dalam program serta aktiviti antarabangsa. 0 Tontonan: 1 Navigasi kiriman UMT Wakili Malaysia ke Kejohanan Pelayaran Universiti Dunia FISU 2026 di Croatia