Kompleks Siswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus diperkukuh sebagai hab aktiviti pelajar dengan kehadiran jenama Mixue, selepas kejayaan dua rantaian komersial ternama sebelum ini. Peluncuran ini menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha universiti memperkaya suasana kampus dengan pilihan baharu untuk warga UMT.

Kehadiran Mixue bukan sahaja menambah nilai kepada ekosistem kampus, malah membuka peluang pekerjaan kepada mahasiswa. Sehingga kini, seramai lapan orang pelajar UMT telah diambil bekerja, dan jumlah itu dijangka meningkat sehingga dua belas orang pelajar. Selain itu, kerjasama ini turut menyediakan peluang latihan industri serta lawatan pembelajaran, sekali gus memberi nilai tambah kepada pembangunan kerjaya dan kebolehpasaran mahasiswa.

Lebih daripada itu, kehadiran Mixue menjadi platform pendedahan awal kepada ekosistem keusahawanan. Mahasiswa berpeluang mempelajari aspek pengurusan operasi, pemasaran dan perkhidmatan pelanggan secara langsung. Pengalaman ini diharap dapat menyemai minat serta keberanian dalam kalangan mahasiswa untuk menceburi bidang keusahawanan, selaras dengan aspirasi UMT melahirkan graduan berdaya saing dan berjiwa usahawan.

Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan UMT dalam menyokong agenda keusahawanan mahasiswa dengan menyediakan ruang dan peluang untuk pelajar meneroka potensi diri serta membina kemahiran praktikal yang relevan dengan keperluan industri masa kini.

Lebih bermakna lagi, hasil sewaan Mixue akan disalurkan melalui Koperasi Siswa (KOSISWA), di mana sebanyak RM150 dimasukkan ke dalam Tabung Amanah Pembangunan dan Kebajikan Pelajar. Sumbangan ini akan digunakan demi kesejahteraan warga kampus secara menyeluruh.

Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dalam ucapannya menegaskan peluncuran Mixue di UMT bukan sekadar membawa jenama baharu ke dalam kampus, tetapi lebih penting ia membuka ruang pembelajaran sebenar kepada mahasiswa. Universiti percaya pengalaman bekerja, latihan industri dan pendedahan kepada ekosistem keusahawanan akan menjadi nilai tambah yang amat berharga.

“Ini juga adalah sebahagian daripada inisiatif HEPA Outlook untuk memeriahkan lagi suasana Kompleks Siswa dan nampaknya telah mendapat sambutan hangat dalam kalangan mahasiswa.”

“Inilah komitmen UMT untuk melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan dan keusahawanan,” tambahnya lagi.

Dengan peluncuran rasmi Mixue di UMT, universiti yakin langkah ini akan memberi manfaat besar kepada mahasiswa dan seluruh komuniti kampus, sekali gus memperkukuh peranan UMT sebagai institusi yang mendukung pembangunan holistik pelajar.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *