Kuala Nerus, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) memberi pengiktirafan kepada staf di Majlis Apresiasi HEPA 2024 yang berlangsung di Elysium, Drawbridge Kuala Terengganu pada 23 Februari 2025. Majlis yang dihadiri oleh 100 kakitangan HEPA telah memberi pengiktirafan kepada warga kerja HEPA sebagai penghargaan hasil kerja, kecemerlangan dan kerjasama padu menjayakan segala program dan aktiviti HEPA sepanjang 2024.

Majlis menyaksikan penyampaian sijil penghargaan bagi dua kategori iaitu 9 sijil penghargaan melalui undian popular yang dibuat oleh semua warga HEPA dan 9 penghargaan utama kepada ketua pentadbir, pegawai dan kakitangan sokongan berdasarkan penilaian khas yang dibuat oleh jawatankuasa dan sokongan daripada Timbalan Naib Canselor (Hal EHwal Pelajar dan Alumni).

Majlis Apresiasi ini turut meraikan kepemimpinan Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain selama dua tahun menerajui HEPA sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan diiringi dengan acara sambutan hari lahir warga HEPA bagi bulan Januari hingga Mac.

Menurut Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain, beliau menzahirkan rasa terima kasih kepada semua warga di atas sokongan padu semua warga HEPA sehingga mampu merealisasi #HEPABINGKAS melalui inisiatif 9 prakarsa dan 7 ikhtiar. Beliau berharap kejayaan dan penghargaan ini akan menjadi pemangkin semangat untuk terus bekerja dengan cemerlang dan berintegriti tinggi sebagai penjawat awam. Tambah beliau, “Seorang staf bukan sahaja perlu mempunyai kompetensi namun perlu juga mempunyai daya keupayaan diri (capability) bagi menangani cabaran dalam kerja”.

Kemeriahan majlis diteruskan dengan cabutan hadiah misteri kepada 45 penerima termasuk dua hadiah utama. Majlis ini telah diserikan dengan persembahan Juara Bintang Kecil yang juga pelajar UMT iaitu saudara Ikmal Zuraimi, pelajar Sarjana Muda Pelancongan, FPEPS. Sidang Redaksi HEPA mengucapkan tahniah di atas penganjuran majlis ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *