Kuala Nerus – Sebagai sebahagian daripada pengisian Minggu Jalinan Mesra (MJM) 2025, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menganjurkan slot berimpak tinggi bertajuk “Mahasiswa Idaman dan Kehidupan Kampus”, yang telah berlangsung pada 7 Julai 2025 (Isnin) bertempat di Dewan Persidangan 1-3, UMTCC. Program ini telah disempurnakan oleh YBhg. Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), yang tampil memberikan amanat dan pesanan kepada mahasiswa baharu sesi 2025/2026. Beliau menekankan tentang keperluan membentuk identiti mahasiswa idaman yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah turut menyerlah dalam kepimpinan, kebertanggungjawaban sosial serta mempunyai integriti tinggi dalam membina masa depan negara. Turut hadir dalam program ini ialah Encik Fadli bin Mamat, Ketua Pentadbiran Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), yang memainkan peranan penting dalam sesi dialog terbuka bersama mahasiswa. Sesi ini menjadi platform komunikasi yang lebih santai dan dekat dengan mahasiswa. Program ini turut dihadiri oleh Pengurusan dan Pegawai Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UMT. Sesi dialog yang berlangsung dalam suasana santai namun penuh makna ini berjaya menarik penyertaan lebih kurang 600 orang mahasiswa baharu, yang jelas menunjukkan keterbukaan dan minat mereka untuk memahami struktur dan peranan HEPA dalam mencorak kehidupan kampus mereka sepanjang tempoh pengajian. Profesor Dr. Mohd Izani dalam ucapannya turut menyeru agar mahasiswa bijak menggunakan ruang dan peluang yang disediakan oleh universiti, selain menekankan nilai Malaysia MADANI, iaitu prinsip kehidupan yang berteraskan kemanusiaan, keterangkuman dan kesejahteraan bersama. Beliau menambah, mahasiswa idaman adalah mereka yang tidak hanya mengejar kejayaan akademik semata-mata, tetapi turut aktif membina nilai diri melalui penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan, memiliki pemikiran kritis, semangat patriotisme serta berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global. Program ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan awal antara pihak universiti dan pelajar baharu, malah mencerminkan komitmen UMT dalam memastikan setiap mahasiswa mendapat perhatian dan sokongan sewajarnya sepanjang pengajian mereka. Keseluruhannya, program “Mahasiswa Idaman dan Kehidupan Kampus” berjaya memberi pendedahan awal dan menyemai kefahaman kepada mahasiswa tentang nilai-nilai utama yang harus dibentuk dalam kehidupan kampus. Ia turut menjadi medan permulaan kepada budaya dialog, keterbukaan dan keprihatinan yang akan terus dipupuk sepanjang perjalanan mahasiswa di UMT. Sidang Redaksi HEPA mengucapkan selamat maju jaya kepada semua penerima dan berharap bantuan ini dimanfaatkan sepenuhnya. Tontonan: 2 Navigasi kiriman HEPA Hulurkan Bantuan Tanda Sokongan Kepada Pelajar UMT Sinar Harapan Dari Belara: UMT Julang Semangat Pelajar Cemerlang