3 Julai 2025, Kuala Nerus – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) telah mengadakan satu sesi lawatan khas ke kediaman pelajar cemerlang, saudari Izzah Zulaikha binti Mohd Sukri bagi menyampaikan surat tawaran rasmi kemasukan beliau ke program Asasi STEM sesi 2025/2026 di Kampung Belara, Manir, Terengganu. Saudari Izzah Zulaikha, yang merupakan antara pelajar lepasan SPM yang mendapat keputusan yang cemerlang dan ditawarkan tempat di UMT bagi mengikuti pengajian dalam program Asasi STEM. Sesi penuh makna ini telah disempurnakan oleh Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT. Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Profesor Madya Dr. Laili binti Che Rose, Pengarah Pusat Asasi STEM, bersama beberapa pegawai HEPA yang lain. Sebagai penghargaan pencapaian akademik beliau, pihak universiti turut menyampaikan bantuan awal yuran pengajian bernilai RM200 melalui inisiatif Bingkas Kasih HEPA dan sebuah hamper makanan asas sebagai tanda sokongan moral dan galakan awal. Profesor Dr. Mohd Izani dalam ucapannya menyatakan bahawa pendekatan turun padang seperti ini merupakan salah satu usaha proaktif universiti dalam membantu pelajar yang kurang berkemampuan untuk membayar yuran pengajian kemasukan. Pelaksanaan ini adalah untuk menghargai pelajar cemerlang ini kerana telah memilih UMT sebagai pilihan utama mereka melanjutkan pengajian. “Kita mahu para pelajar tahu bahawa kejayaan mereka diraikan dan bahawa UMT sentiasa berada di sisi mereka, khususnya dalam membantu meringankan beban di awal pengajian,” jelas beliau Sementara itu, Profesor Madya Dr. Laili pula menzahirkan harapan agar Saudari Izzah dapat menyesuaikan diri dengan baik di kampus nanti serta terus menunjukkan prestasi cemerlang dalam bidang sains dan teknologi, sejajar dengan aspirasi Asasi STEM UMT. Saudari Izzah Zulaikha akan hadir mendaftar masuk ke UMT pada 6 Julai 2025 ini menyatakan rasa terharu dan teruja menerima lawatan tersebut. “Saya tidak sangka pihak universiti sendiri akan datang ke rumah menyampaikan surat tawaran. Ia memberi semangat luar biasa untuk saya terus berusaha dan memberikan yang terbaik,” katanya. Tahniah diucapkan kepada Saudari Izzah Zulaikha atas kejayaan ini. Semoga langkah awal ini menjadi pembakar semangat buat beliau dan pelajar lain untuk terus mengejar kecemerlangan di menara gading, sekaligus menyumbang kepada pembangunan negara melalui ilmu dan kepakaran dalam bidang STEM. Sidang Redaksi HEPA Bingkas mengucapkan tahniah di atas kejayaan menjejakkan kaki ke menara gading. Tontonan: 2 Navigasi kiriman HEPA Santuni Mahasiswa Idaman Baharu Selami Kehidupan Kampus Bingkas Kasih Pemangkin Permulaan: 36 Pelajar Baharu Terima Bantuan Yuran Awal UMT