BANGI, 2 Sept — Keberanian meninggalkan keluarga dan keluar daripada zon selesa menjadi pembakar semangat buat Nury Alyfa Hanny Syahrul Azrin untuk memulakan langkah sebagai mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam bidang yang diminatinya.

Nury, pelajar baharu Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FPEPS) UMT, bercita-cita untuk bergelar akauntan selepas menamatkan pengajian.

Beliau berkata walaupun keputusan untuk melanjutkan pengajian jauh dari rumah memerlukan keberanian untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu, peluang mengikuti bidang yang diminatinya menjadi pendorong untuk melangkah dengan lebih yakin.

“Walaupun terpaksa mencabar diri meninggalkan rumah dan keluar dari zon selesa, Nury sangat bersyukur ditawarkan pengajian dalam bidang yang diminatinya,” katanya.

Selain memberi tumpuan kepada akademik, Nury turut mahu meneruskan penglibatan dalam bidang sukan di UMT selepas aktif dalam acara balapan, khususnya larian, ketika di bangku persekolahan.

Beliau berharap dapat mengimbangi tuntutan pengajian dengan aktiviti sukan, sekali gus meneruskan minat dan pencapaiannya dalam bidang berkenaan sepanjang bergelar mahasiswa.

“Saya mahu terus aktif dalam sukan balapan di UMT sambil memastikan pengajian tidak terabai,” katanya.

Dalam pada itu, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT turut menyampaikan Bantuan Awal Yuran Pengajian Bingkas Kasih sebanyak RM200 serta Baucar Makanan Dapo MAIDAM bernilai RM300 kepada Nury.

Sumbangan berkenaan merupakan antara usaha universiti dalam membantu meringankan keperluan mahasiswa baharu ketika memulakan pengajian, selain memastikan aspek kebajikan dan kesejahteraan pelajar mendapat perhatian.

Program Ziarah Bingkas Kasih HEPA UMT turut menjadi wadah untuk pihak universiti menyantuni mahasiswa dan keluarga, di samping memberikan sokongan moral kepada pelajar dalam menghadapi fasa baharu kehidupan di universiti.

Bagi Nury, kemasukan ke UMT merupakan peluang untuk mengembangkan potensi diri bukan sahaja dalam bidang akademik, tetapi juga melalui penglibatan dalam sukan dan aktiviti kemahasiswaan.

Dengan semangat untuk keluar daripada zon selesa, beliau tekad memanfaatkan peluang yang ada bagi mencapai cita-cita sebagai akauntan serta mencipta pengalaman baharu sepanjang berada di UMT.