PANGKOR, 20 Oktober 2026 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menghantar seramai 28 staf dan pelajar ke Pulau Pangkor bagi menyertai misi sukarelawan pascabanjir, termasuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan di Kampung Masjid, di sini.

Misi berkenaan merupakan usaha UMT membantu penduduk yang terjejas akibat banjir, selain meringankan beban mereka dalam membersihkan kawasan kediaman dan persekitaran.

Pengambilan sukarelawan staf diselaraskan oleh Pejabat Pendaftar UMT, manakala sukarelawan pelajar diselaraskan oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain ketika ditemui berkata penglibatan warga universiti dalam misi itu membuktikan bahawa tanggungjawab sosial dan kebajikan masyarakat sentiasa menjadi antara keutamaan UMT.

“Walaupun kita sedang sibuk dengan Istiadat Konvokesyen Ke-24 UMT, tanggungjawab untuk membantu masyarakat yang ditimpa musibah tidak boleh diketepikan. Kehadiran staf dan pelajar di Pangkor mencerminkan semangat kebersamaan serta keprihatinan warga UMT terhadap komuniti yang memerlukan bantuan,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata penglibatan dalam aktiviti kesukarelawanan turut memberi peluang kepada pelajar membina sahsiah, memupuk empati dan menghayati nilai kemanusiaan di luar bilik kuliah.

Sementara itu, Pelajar Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Maritim) (Dual Degree) dengan Kepujian, Nurul Afiqah Binti Ahmad Shahril, berkata peluang menyertai misi itu memberikan pengalaman bermakna kerana dapat membantu masyarakat yang berhadapan kesukaran selepas banjir.

“Walaupun kami mempunyai komitmen pengajian masing-masing, peluang untuk turun padang dan membantu penduduk yang terjejas merupakan satu pengalaman yang sangat berharga. Kami berharap sumbangan kecil ini dapat meringankan beban mereka dan membantu membersihkan kawasan yang terjejas,” katanya.

Misi berkenaan diharap dapat membantu mempercepat usaha pembersihan di Kampung Masjid, selain mengeratkan hubungan antara UMT dengan komuniti setempat.