Data Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) yang dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memainkan peranan penting dalam mendapatkan maklumat berkaitan Kadar Bekerja Graduan (Graduate Employability, GE) dan Kebolehpasaran Graduan (Graduate Marketability, GM). Kedua-dua indikator ini merupakan antara hasil penting daripada pengisian SKPG yang membantu Universiti menilai pencapaian graduan selepas menamatkan pengajian. Kelengkapan dan ketepatan maklumat yang diberikan oleh setiap graduan amat penting bagi memastikan pencapaian UMT dalam kedua-dua indikator tersebut dapat direkodkan dan dilaporkan dengan tepat. Data ini turut menyokong usaha universiti menilai keberkesanan inisiatif pembangunan kerjaya dan keusahawanan, di samping memperkukuh reputasi, penarafan serta keterlihatan UMT di peringkat nasional dan antarabangsa Aspek kebolehpasaran graduan juga mempunyai kaitan dengan usaha memperkukuh reputasi, penarafan dan keterlihatan universiti di peringkat nasional serta antarabangsa. Pencapaian graduan yang direkodkan melalui data yang lengkap dan tepat membantu universiti menampilkan keberhasilan pendidikan, keberkesanan program pembangunan pelajar serta keupayaan melahirkan graduan yang memenuhi keperluan pasaran kerja. Menjelang Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Ke-24 yang berlangsung pada 18 hingga 21 Oktober 2026 di Dewan Sultan Mizan (DSM), UMT, semua bakal graduan diseru supaya melengkapkan pengisian Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) dalam tempoh yang ditetapkan bermula 7 hingga Oktober 2026. Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata, setiap bakal graduan memainkan peranan penting dalam memastikan pencapaian universiti dapat direkodkan secara tepat dan menyeluruh. “Pengisian SKPG bukan sekadar memenuhi keperluan menjelang konvokesyen. Respons setiap graduan menyumbang kepada data yang digunakan untuk menggambarkan pencapaian Kadar Bekerja Graduan dan kebolehpasaran graduan UMT. Sekiranya data tidak lengkap, pencapaian sebenar graduan mungkin tidak dapat ditampilkan secara menyeluruh. “Justeru, kami menyeru semua bakal graduan supaya mengambil tanggungjawab ini dengan serius. Kerjasama mereka bukan sahaja membantu universiti menilai keberkesanan inisiatif pembangunan kerjaya, malah menyokong usaha memperkukuh reputasi, penarafan dan keterlihatan UMT sebagai institusi pendidikan tinggi yang melahirkan graduan berkualiti dan berdaya saing,” katanya. Beliau berkata, melalui Pusat Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (UMT-GEM), HEPA akan terus memperkukuh inisiatif pembangunan kerjaya dan keusahawanan bagi meningkatkan kesiapsiagaan mahasiswa menghadapi alam pekerjaan serta memenuhi keperluan industri yang sentiasa berubah. Tontonan: 9 Navigasi kiriman TV1 | 19 Jun 2026 | UMT Beri Peluang Pelajar Cari Wang Saku Dari Kampus ke 4 Negara : Mahasiswa Perikanan UMT Buktikan Kualiti Kepimpinan di Pentas Antarabangsa