Kuala Nerus, 24 Mei 2025 – Dewan Sultan Mizan, UMT menjadi saksi malam penuh emosi dan penghargaan dalam penganjuran Malam Apresiasi Sudirman (MAS) yang bertujuan untuk mengenang dan menghargai sumbangan Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad kepada industri muzik tanah air. Program anjuran Pusat Kebudayaan dan Kesenian HEPA, UMT dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM), Majilis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Angkatan Anak Seni (AKASIA), UMT telah diadakan pada 24 Mei 2025 (Sabtu). MAS juga membuktikan bahawa legasi Sudirman tidak akan pernah pudar. Beliau bukan sahaja seorang penyanyi, tetapi juga ikon yang telah memberi inspirasi melalui semangat dan dedikasi beliau dalam seni terus hidup dalam diri kita semua. Justeru, pencarian Bintang Sudirman melalui Pertandingan Nyanyian Lagu Sudirman telah diadakan pada hari yang sama melibatkan 11 orang penyertaan pelajar dari universiti awam di Malaysia. Malam tersebut dimeriahkan dengan persembahan fragmen teater muzikal dari pelajar Kelab Layar Opera mengenai perjalanan seni Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad. Program ini telah dihadiri oleh YBhg. Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor (HEPA), Pengurusan HEPA, Pegawai MAKUM, warga UMT dan komuniti setempat. Bintang Sudirman telah dinobatkan kepada saudara Mohamad Arif Hakimi bin Mohamad Ghani dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang membawa pulang hadiah wang tunai RM 1,000.00 beserta e-sijil sebagai pengiktirafan terhadap bakat dan persembahan yang cemerlang. Naib Johan membawa pulang wang tunai RM 700.00 beserta e-sijil telah dimenangi oleh saudara Adam Harith bin Putera dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Tempat ketiga menjadi milik saudara Muhammad Zakwan bin Zulkifli dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) membawa pulang hadiah wang tunai RM 500.00 beserta e-sijil. Saudara Nhavinish A/L Kumar dari Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menerima Anugerah Busana Terbaik manakala Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang diwakili oleh saudara Muhammad Akmal Zafran bin Zuraimi memenangi Anugerah Khas Juri dan kedua-dua mereka telah membawa pulang hadiah wang tunai RM 200.00 beserta e-sijil. Kemuncak MAS ialah penampilan khas artis jempuan Amsyar Lee membawakan beberapa lagu popular Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad dengan gaya tersendiri dan sentuhan segar kepada karya-karya klasik tersebut. Penampilannya mendapat sambutan hangat dari penonton yang hadir seramai 700 orang meninggalkan kesan mendalam di hati malah ia bukan sahaja satu penghargaan kepada Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad, tetapi juga satu pengiktirafan kepada seni dan budaya Malaysia yang terus berkembang dan dihargai oleh generasi masa kini. Sidang Redaksi HEPA merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada MAKUM dan PBS UMT atas penganjuran program yang cukup bermakna ini. Tontonan: 3 Navigasi kiriman Bengkel Training Of Trainer (TOT) Senam Seni Malaysia Memperkasakan Kesenian Dan Kecergasan Dalam Budaya Tempatan Seni & Budaya : Wacana Rentas Disiplin