Kuala Nerus, 20 Mei 2025 – Bengkel Training of Trainer (TOT) Senam Seni Malaysia yang berlangsung dari 18 hingga 20 Mei 2025 di Pusat Seni Warisan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah berjaya memperkasa senam seni sebagai satu bentuk senaman yang menggabungkan elemen budaya tempatan dengan kecergasan fizikal.

Program yang dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Terengganu dengan kerjasama Pusat Seni Warisan UNISZA, Pusat Sukan Rekreasi UNISZA, dan Pusat Kebudayaan dan Kesenian HEPA UMT ini bertujuan untuk memperkenalkan Senam Seni Malaysia yang menggabungkan kesenian tradisional Melayu dengan senaman moden.

Sebagai sebahagian daripada program ini, bengkel ini dapat melahirkan lebih ramai jurulatih yang berkemahiran dalam Senam Seni Malaysia. Melalui bengkel ini, peserta diajar teknik-teknik senam yang mengintegrasikan gerakan tarian tradisional seperti zapin, joget dan inang dengan latihan kecergasan fizikal yang sesuai untuk semua peringkat umur.

Sebagai tanda komitmen terhadap pembangunan seni budaya dan kecergasan, Pusat Kebudayaan dan Kesenian HEPA UMT telah menghantar tiga wakil pelajar iaitu saudara Mohamed Mahathir bin Hartono dari Sarjana Muda Geosains Marin, saudara Mohd Zahir Shafuan bin Mazlan dan Mohd Aidilfitrie bin Mat Zaini kedua-duanya dari Sarjana Muda Kaunseling.

Ketiga-tiga pelajar ini telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam mengikuti pengisian bengkel ini dan bersedia untuk menyebarkan ilmu serta mengembangkan Senam Seni Malaysia dalam kalangan pelajar dan komuniti setempat.

Pelaksanaan bengkel ini menandakan langkah awal yang signifikan dalam memastikan Senam Seni Malaysia terus berkembang dan diterima ramai, terutama dalam kalangan generasi muda dan mahasiswa. Melalui usaha sama antara institusi pengajian tinggi dan agensi kebudayaan, ia diharapkan dapat mewujudkan lebih banyak jurulatih yang berkelayakan dan mengembangkan program ini di seluruh negara.

Dengan keberhasilan program ini, Senam Seni Malaysia diyakini mampu menjadi salah satu aktiviti kesihatan yang popular di negara ini, sambil memperkenalkan nilai seni dan budaya yang terkandung di dalamnya.

Seiring bengkel ini diadakan juga, Majlis Pelancaran Senam Seni 2.0 Peringkat Negeri Terengganu telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hafiz bin Yusoff, Timbalan Naib Canselor (HEPA), UniSZA, yang turut memberi kata-kata aluan penuh semangat dan harapan agar Senam Seni terus berkembang dan diterima luas oleh masyarakat. Selain itu, Puan Nurwati @ Rahimah binti Abdul Wahab, Pengarah Pembangunan Produk Budaya JKKN Ibu Pejabat, juga tidak ketinggalan memberikan ucapan perasmian mewakili pihak JKKN Ibu Pejabat, sekali gus menandakan sokongan padu terhadap kemajuan Senam Seni sebagai aktiviti sihat berteraskan budaya.

Sidang Redaksi HEPA merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada urus setia dan pihak PBS atas penyertaan bengkel yang sangat bermanfaat ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *