KOLEJ KEDIAMAN, UMT, 30 Mac 2025 – Seramai 14 barisan Ahli Jawatankuasa Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kediaman (JPKK) dan 29 ASSIST telah menyertai Bengkel Pemantapan Kepimpinan Ahli Jawatankuasa (AJK): JPKK x ASSIST yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kediaman (JPKK) sesi 2025/2026.

Program ini bertujuan memberikan pendedahan berkaitan perancangan program, memperjelaskan peranan dan tanggungjawab setiap ahli jawatankuasa serta memperkukuhkan kerjasama berpasukan dalam kalangan mahasiswa.

Program yang berlangsung di Dewan Al-Irfan, Kolej Kediaman, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ini turut mendapat sokongan daripada pihak pengurusan universiti termasuk staf penasihat, En. Muhammad Ashraff Aiman Bin Roslan serta penasihat program, Profesor Madya Ts. Dr. Nik Aziz bin Nik Ali selaku Pengarah Kolej Kediaman.

Bengkel dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengarah Program, diikuti oleh bacaan doa sebelum diteruskan dengan beberapa sesi pengisian utama. Sesi pertama memfokuskan kepada taklimat peranan dan tanggungjawab setiap Ahli Jawatankuasa yang disampaikan oleh Majlis Tertinggi JPKK.

Seterusnya, sesi kedua memberi penekanan kepada perancangan dan penyelarasan program bagi memastikan setiap gerak kerja dapat dilaksanakan secara lebih sistematik dan tersusun. Selain itu, sesi team building yang diadakan turut menjadi medium penting dalam mengeratkan hubungan antara ahli JPKK dan ASSIST.

Aktiviti ini bukan sahaja meningkatkan semangat kerjasama, malah membantu membina komunikasi yang lebih efektif dalam kalangan peserta. Penganjuran bengkel ini dilihat sebagai satu inisiatif penting dalam melahirkan barisan kepimpinan mahasiswa yang lebih kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dalam mengurus serta melaksanakan program pada masa hadapan.

Secara keseluruhannya, Bengkel Pemantapan Kepimpinan AJK: JPKK x ASSIST bukan sahaja berperanan sebagai platform latihan, malah menjadi langkah strategik dalam memastikan kelancaran pelaksanaan program kolej kediaman melalui kepimpinan yang lebih teratur, sistematik dan berkesan.

Sidang Redaksi HEPA mengucapkan tahniah kepada JPLK Kolej Kediaman (KK), HEPA UMT di atas program yang dijalankan ini.