23 April 2025 – Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) diserikan dengan kehadiran lebih 500 orang tetamu terdiri daripada tetamu jemputan warga UMT, rakan strategik, wakil komuniti lima buah kampung angkat di bawah Program Komuniti MADANI dan para pelajar UMT. Majlis yang berlangsung di Bangunan Kompleks Siswa ini turut dihadiri oleh 50 orang pelajar yang dipilih daripada sekolah di sekitar Kuala Terengganu. Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) telah memulakan majlis dengan mengalukan kehadiran tetamu jemputan seterusnya menyampaikan sumbangan duit raya kepada pelajar dari kategori keluarga berpendapatan rendah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Tunggal, Sekolah Kebangsaan Tok Jembal dan Sekolah Menengah Kebangsaan Matang, Kuala Berang. Majlis diteruskan lagi dengan penyampaian wang sara hidup Dana Siswa kepada wakil 4 pelajar UMT dengan jumlah tunai RM200 bagi setiap pelajar. Menurut Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain, Timbawlan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), HEPA telah memperuntukkan RM100,000 bagi tahun 2025 dan boleh dimanfaatkan kepada lebih 500 pelajar UMT bagi permohonan Dana Siswa di bawah kategori sara hidup. Melalui ucapan beliau, bantuan wang sara hidup ini adalah sebagai inisiatif sokongan kewangan kepada pelajar. Ujarnya “saya yakin bantuan ini dapat membantu pelajar menyara kehidupan mereka di kampus. Berdasarkan maklum balas kajian yang dibuat terhadap penerima, HEPA mendapati wang sara hidup ini telah memberi impak positif kepada pelajar terutamanya sebagai sokongan untuk mereka membeli keperluan pengajian termasuk membantu mereka membayar yuran pengajian. Turut diadakan Majlis Perasmian Penutup Program Kampung Angkat MADANI; Kampung Angkat HEPA iaitu sesi penyampaian sijil penghargaan kepada wakil kampung angkat HEPA kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Penarek Setiu, komuniti nelayan Kampung Mengabang Lekor, Sekolah Kebangsaan Tok Jembal, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Tunggal dan Sekolah Menengah Kebangsaan Matang di atas penglibatan dan kerjasama erat sepanjang tahun 2024. HEPA telah menyusun dan menganjurkan pelbagai program melibatkan komuniti setempat selaras dengan Program Komuniti MADANI sepanjang tahun 2024. Sambutan Majlis Raya Aidilfitri HEPA telah digamatkan dengan kemeriahan persembahan khas gamelan dari pelajar Sekolah Kebangsaan Tok Jembal dan persembahan instrumen dan nyanyian oleh Blue Rhythm daripada Persatuan Pelajar Cina (PPC). Kemuncak majlis, Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) telah menyampaikan hadiah kepada wakil pusat yang dinobatkan sebagai gerai raya terbaik termasuk dua pemenang pakaian raya tercantik. Sidang Redaksi HEPA mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa yang terlibat atas penganjuran majlis yang penuh warna warni ini. Tontonan: 3 Navigasi kiriman Bakul Rezeki Aidilfitri Pupuk Nilai Prihatin Dan Berkongsi, Santuni Komuniti Kampung Kubur Timah HEPA Hulurkan Bantuan Tanda Sokongan Kepada Pelajar UMT