Kuala Nerus, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Malaysia Terengganu telah menganjurkan program Lestari HEPA & Kuca Bubur Lambuk : Mengimarahkan Ramadan dengan Semangat Kebersamaan dan Keprihatinan pada 17 Mac 2025 yang diadakan di Serambi Siswa, Kolej Kediaman. Program ini bertujuan menyemarakkan semangat Bulan Ramadan dengan Warga HEPA bergotong royong dalam menyediakan Bubur Lambuk. Apa yang menarik, penyediaan Bubur Lambuk Tradisional Terengganu menggunakan resipi istimewa iaitu dengan memasukkan pucuk midin sebagai salah satu ramuan bagi mengekalkan keaslian rasa yang menjadi kegemaran ramai. Pucuk midin, yang terkenal dengan tekstur lembut dan rasa lemak semula jadi, bukan sahaja menambah keenakan bubur lambuk tetapi juga memberikan manfaat kesihatan yang tinggi. Dikenali sebagai sumber serat dan antioksidan, ramuan ini menjadikan bubur lambuk lebih berkhasiat serta sesuai untuk dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Pelbagai aktiviti dilaksanakan sepanjang program ini berlangsung antaranya sesi ujian DASS (Depression, Anxiety, and Stress Scale) yang dijalankan dengan kerjasama kaunselor dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Seterusnya, sesi pengisian kerohanian yang bertajuk “Cahaya Al-Quran, Sejahterakan Jiwa” iaitu perkongsian tentang peranan Al-Quran sebagai sumber cahaya, panduan hidup, dan penenang jiwa bagi umat Islam. Semasa program ini berlangsung turut diadakan perkongsian ilmu daripada pihak QSR tentang pentingnya menyantuni golongan yang memerlukan. Menurut Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain, penganjuran program Kuca Bubur Lambuk ini adalah sebagai pendekatan HEPA mengambil keberkatan Ramadan dengan berkongsi rezeki bersama warga UMT dan komuniti setempat. Penyediaan Bubur Lambuk ini mendapat kerjasama erat daripada Maxis Berhad dengan menaja sebanyak RM 1,000.00 bagi kos penyediaan Bubur Lambuk. Sebanyak 3 kawah Bubur Lambuk telah dihasilkan secara gotong royong bersama semua warga HEPA bermula seawal jam 9.00 pagi. Sebanyak 600 bekas Bubur Lambuk telah diagihkan kepada pelajar UMT termasuk warga UMT dan komuniti setempat. Dalam pada itu, HEPA UMT berbesar hati berkongsi rezeki dan kegembiraan dengan 20 pelajar asnaf, terdiri daripada 10 pelajar dari SK Tok Jembal dan 10 pelajar dari SK Tanjung Gelam iaitu pemberian duit raya kepada pelajar sekolah terlibat. Tidak berakhir disitu, HEPA UMT turut menyampaikan bantuan kotak Ramadan kepada 13 orang penerima asnaf. Pada akhir program, HEPA telah meneruskan Ziarah Bingkas Cakna @Ramadan dengan menyantuni tiga buah rumah komuniti setempat sebagai tanda keprihatinan dan darmabakti HEPA kepada golongan yang memerlukan. Sidang Redaksi HEPA mengucapkan tahniah kepada Pusat Hal Ehwal Pelajar di atas penganjuran program yang bermakna ini. Tontonan: 2 Navigasi kiriman “Menggagas Idea, Menatah Mahasiswa Idaman” Fokus HEPA Sepanjang 2025 Seminar Memperkasakan Amalan Terbaik (SMART) Kor Sukarelawan Siswa Siswi (SUKSIS) Universiti Awam Tahun 2025