Kuala Terengganu – Program Cakna Anak Seni Ramadan 5.0 : Iftar Bersama Penggiat Seni telah berlangsung dalam suasana penuh kemesraan dan harmoni di Matahari Restaurant, Kuala Terengganu menghimpunkan para penggiat seni bersama mahasiswa UMT bersempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Program ini anjuran Pusat Kebudayaan dan Kesenian HEPA, UMT dengan kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bertujuan sebagai satu platform untuk menyemai nilai kebersamaan, keprihatinan serta penghargaan terhadap sumbangan penggiat seni dalam memartabatkan seni dan budaya tempatan. Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran YBrs. En. Hilman bin Hajijan, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, sebagai tetamu kehormat. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh YBrs. Dr. Noorfathehah binti Abdullah Sani, Ketua Pusat Kebudayaan dan Kesenian HEPA, UMT menzahirkan penghargaan kepada para penggiat seni atas komitmen serta sumbangan mereka dalam memperkasa aktiviti seni dan budaya di negeri Terengganu malahan dalam pembangunan seni budaya dalam kalangan mahasiswa UMT. Seramai 18 orang penggiat seni dari pelbagai latar belakang telah hadir bagi memeriahkan majlis tersebut. Kehadiran mereka bukan sahaja mengeratkan hubungan antara komuniti seni dan institusi pendidikan, malah membuka ruang perkongsian pengalaman serta inspirasi kepada generasi muda untuk terus menghargai dan memartabatkan seni budaya tempatan. Sebagai tanda penghargaan kepada para penggiat seni, YBrs. En. Hilman bin Hajijan turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada semua penggiat seni yang hadir. Penyampaian sumbangan tersebut merupakan simbolik penghargaan atas jasa dan dedikasi mereka dalam memartabatkan seni serta warisan budaya negeri Terengganu. Majlis kemudiannya diteruskan dengan acara berbuka puasa yang berlangsung dalam suasana penuh ukhuwah dan keakraban. Program ini diharapkan dapat terus menjadi platform dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi pendidikan, komuniti seni serta agensi berkaitan. Secara keseluruhannya, penganjuran Program Cakna Anak Seni 5.0 membuktikan komitmen berterusan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam menyantuni serta menghargai penggiat seni, di samping menyemai semangat cintakan seni dan budaya dalam kalangan generasi muda. Sidang Redaksi HEPA mengucapkan tahniah kepada Pusat Kebudayaan dan Kesenian, HEPA UMT di atas pelaksanaan program yang cukup bermakna pada bulan yang mulia ini. Tontonan: 3 Navigasi kiriman Seni & Budaya : Wacana Rentas Disiplin Festival Kebudayaan dan Kesenian 2026 Cipta Memori Luar Biasa