22 Februari 2026 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menganjurkan Anugerah Kebolehpasaran Graduan 2024 (AGE’24) sebagai program penghargaan rasmi bagi mengiktiraf pencapaian graduan yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam aspek kebolehpasaran, pembangunan kerjaya serta kesiapsiagaan memasuki dunia pekerjaan. Majlis yang berlangsung pada 22 Februari 2026 (Ahad) di Dewan Sultan Mizan, UMT ini dilaksanakan bersempena Majlis Perutusan Naib Canselor Tahun 2026. Program ini bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada graduan, malah menjadi platform penghargaan kepada fakulti serta pihak berkepentingan yang menyumbang secara signifikan dalam memperkukuh agenda kebolehpasaran graduan universiti selaras dengan aspirasi pembangunan bakat holistik dan berdaya saing.

Majlis penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh YBhg. Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri bin Ibrahim, Naib Canselor UMT, diiringi YBhg. Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) serta YBrs. Profesor Madya Dr. Nor Fazliyana binti Mahtar@Mohtar, Pengarah UMT-GEM. Program dimulakan dengan perutusan Naib Canselor sebelum diteruskan dengan penyampaian anugerah kepada penerima yang dipilih berdasarkan pencapaian kebolehpasaran graduan. Selain menerima trofi dan sijil penghargaan, para penerima turut diberikan pengiktirafan khas termasuk peluang mengadakan Bootcamp Pembangunan Kerjaya sebagai usaha memperkukuh kompetensi profesional, meningkatkan kebolehkerjaan serta memperkasa daya saing pelajar UMT di peringkat nasional dan global.

Sebanyak tujuh kategori anugerah telah disampaikan meliputi Anugerah Kebolehpasaran Graduan Tertinggi (Sains Sosial), Anugerah Kebolehpasaran Graduan Tertinggi (Sains dan Teknologi), Anugerah Kebolehpasaran Graduan (Bekerja Dalam Bidang), Anugerah Kebolehpasaran Graduan (Usahawan), Anugerah Kebolehpasaran Graduan (Gaji Premium Tertinggi), Anugerah Khas Kebolehpasaran Graduan UMT (Piala Pusingan) serta Anugerah Utama Kebolehpasaran Graduan (Pencapaian Kebolehpasaran Graduan).

Semua penerima menerima trofi dan sijil penghargaan, manakala penerima Anugerah Utama turut dianugerahkan Dana Pembangunan Kerjaya bernilai RM5,000.00 hasil sumbangan pihak GRADUAN. Pengiktirafan ini mencerminkan kejayaan graduan UMT menempatkan diri dalam sektor pekerjaan relevan dengan bidang pengajian serta memenuhi keperluan industri semasa.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada fakulti dan institut yang memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda kebolehpasaran graduan universiti. Antara penerima ialah FSSM, FSKM, FTKK, FPM, FPEPS, FSMA, FSPA, INOS, AKUATROP, ICAMB, IBTPL serta PPAL. Pengiktirafan ini menzahirkan penghargaan universiti terhadap komitmen berterusan warga akademik dan pentadbiran dalam membimbing pelajar melalui pembangunan kurikulum, latihan industri, jaringan industri serta sokongan pembangunan kerjaya. Secara keseluruhannya, pelaksanaan AGE’24 berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dalam memperkukuh budaya kebolehpasaran graduan UMT selaras dengan aspirasi universiti melahirkan graduan kompeten, holistik dan berdaya saing tinggi.

Sidang Redaksi HEPA mengucapkan tahniah kepada UMT-GEM HEPA, UMT di atas pelaksanaan program yang cukup bermakna dan berimpak tinggi ni.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *