Kuala Nerus, 3 Februari 2026 – Sebagai komitmen berterusan dalam menjaga kebajikan mahasiswa, Hal Ehwal Pelajar (HEPA) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah melaksanakan satu inisiatif memasak secara bersama dan bergotong-royong yang melibatkan kepemimpinan mahasiswa daripada Fakulti Pengurusan Maritim. Program ini bukan sahaja berteraskan nilai kebajikan, malah menjadi medium pembinaan sahsiah, kepemimpinan dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga kampus. Program ini memanfaatkan sepenuhnya sumbangan bahan mentah yang disalurkan melalui Rumah Rezeki UMT, sebuah inisiatif kebajikan yang menjadi nadi sokongan kepada mahasiswa yang memerlukan. Dengan kerjasama erat antara HEPA dan mahasiswa, proses penyediaan makanan dilaksanakan secara kolektif, mencerminkan budaya gotong-royong serta nilai keprihatinan sosial yang tinggi. Makanan yang disediakan kemudiannya diagihkan kepada 300 mahasiswa UMT yang baru sahaja menamatkan peperiksaan, sebagai tanda sokongan moral dan penghargaan terhadap usaha serta ketekunan mereka sepanjang tempoh akademik yang mencabar. Inisiatif ini bukan sahaja membantu meringankan beban mahasiswa, malah menyuntik elemen kesejahteraan emosi dan rasa dihargai dalam kalangan mereka. Timbalan Naib Canselor (HEPA), Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain menyatakan “Program seperti ini bukan sahaja membina kepemimpinan, malah mengukuhkan nilai kebajikan dan semangat kebersamaan dalam kalangan mahasiswa.” Manakala menurut saudara Amirul Hafez Bin Mohamed Masarik, Naib YDP MPP UMT dari Fakulti Pengurusan Maritim berkata “Gotong-royong ini memberi peluang kepada kami untuk menyumbang kepada rakan-rakan, sambil mengasah kemahiran kepemimpinan dan kerja berpasukan.” Secara keseluruhannya, program ini mencerminkan peranan aktif HEPA dan kepemimpinan mahasiswa dalam memperkukuh ekosistem kebajikan mahasiswa di UMT, di samping mengangkat kepemimpinan mahasiswa sebagai rakan strategik universiti dalam membina kampus yang berteraskan nilai kemanusiaan, empati dan kebersamaan. Sidang Redaksi HEPA mengucapkan tahniah kepada Pejabat Hal Ehwal Pelajar (PHEP), UMT di atas pelaksanaan program yang cukup bermakna ini. Tontonan: 2 Navigasi kiriman YPM Terus Prihatin Kebajikan Mahasiswa, 14 Pelajar UMT Terima Sumbangan Majlis Penzahiran Iltizam HEPA 2026