KUALA TERENGGANU – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memperkukuh keterlibatan global apabila empat orang mahasiswanya terpilih menyertai Global Student Leadership Summit (GSLS) 2026 yang akan berlangsung di Universiti Tsukuba, Ibaraki, Jepun selama enam hari bermula 8 Januari lalu. Penyertaan pelajar UMT dalam persidangan antarabangsa berprestij itu mencerminkan kesungguhan universiti melahirkan graduan berdaya saing di peringkat global, khususnya dalam membentangkan idea, berkongsi perspektif dan membina jaringan kepimpinan rentas budaya bersama peserta dari pelbagai negara. Salah seorang peserta, Qistina Wafiyyah Shahrul Nizam dari Fakulti Sains Komputer dan Matematik UMT berkata, peluang menyertai GSLS 2026 merupakan pengalaman bermakna yang membuka ruang pembelajaran di luar bilik kuliah. “Penyertaan ini memberi peluang kepada saya untuk membentangkan idea dan pandangan berkaitan Modelling Campus-Wide Cashless Saturation to Foster Student Autonomy and Digital Financial Literacy dalam konteks global, di samping memahami cabaran kepimpinan masa depan daripada perspektif antarabangsa. Ia juga menguji keyakinan diri serta keupayaan bekerja dalam pasukan pelbagai latar belakang,” katanya. Penyertaan pelajar UMT dalam GSLS 2026 selari dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berkeupayaan menyumbang idea bernilai dalam menangani isu global dan pembangunan mampan. Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata, penyertaan pelajar UMT dalam program bertaraf antarabangsa merupakan suatu keperluan dalam membina jaringan global serta membuka peluang kepada kerjasama akademik, pertukaran pelajar dan pelaksanaan projek bersama pada masa hadapan. “UMT sentiasa menyokong penglibatan pelajar dalam program antarabangsa kerana pengalaman di luar bilik kuliah ini mampu membentuk jati diri pelajar yang lebih yakin, berdikari dan berfikiran global. Mahasiswa juga berperanan sebagai duta kecil negara yang membawa imej positif universiti di mata dunia” katanya. Dengan tema “Nurturing Future Global Leader”, penganjuran GSLS 2026 merangkumi enam teras utama iaitu Tindakan Iklim dan Kemampanan, Pemerkasaan Belia dan Penglibatan Sivik, Kesihatan dan Kesejahteraan Global, Kecerdasan Buatan dan Teknologi Baharu untuk Impak Sosial, Pembelajaran Sepanjang Hayat dan Kemahiran Masa Depan serta Ekonomi Digital dan Keusahawanan Belia. Sidang Redaksi HEPA mengucapkan tahniah kepada Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), UMT di atas penyertaan GSLS 2026 ini. Tontonan: 6 Navigasi kiriman Kem Bina Bakat Siswa (BAKAT) Siri 1 Tahun 2026 Kunjungan Hormat dari Sejahtera Centre for Sustainability and Humanity, International Islamic University Malaysia (IIUM)
Pada pendapat saya, penyertaan pelajar UMT dalam GSLS 2026 merupakan satu pencapaian yang membanggakan kerana memberi peluang kepada mahasiswa mengembangkan kemahiran kepimpinan dan membina jaringan antarabangsa. Pengalaman seperti ini juga mampu meningkatkan keyakinan diri. Adakah lebih ramai pelajar UMT akan diberi peluang menyertai program antarabangsa seperti ini pada masa akan datang?