Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Januari 2026 – Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) melalui Pusat Pembangunan dan Pemerkasaan Mahasiswa (PPPM) telah berjaya menganjurkan Kem Bina Bakat Siswa (BAKAT) Siri 1 Tahun 2026 yang berlangsung selama empat hari secara berfasa bermula 6 hingga 9 Januari 2026, melibatkan pelaksanaan program di Dewan Irfan, Kolej Kediaman UMT serta Masjid Kampung Tok Jembal, Terengganu. Kem ini turut melibatkan penyertaan seramai 120 orang pelajar Tahun Satu UMT yang dikenal pasti mempunyai potensi dan bakat kepimpinan sebelum memasuki universiti. Pemilihan peserta ini dibuat berdasarkan maklumat bakat dan kecenderungan kepimpinan yang diperoleh semasa Minggu Jalinan Mesra (MJM) melalui pengisian borang Google Form PROSIS, sebagai langkah awal pembangunan kepemimpinan mahasiswa sejak peringkat awal pengajian. Kem ini dirangka sebagai platform pembangunan holistik mahasiswa dengan memberi penekanan kepada pencungkilan bakat, pembentukan sahsiah, kepemimpinan, keusahawanan, kesejahteraan emosi serta penglibatan komuniti, selaras dengan aspirasi Mahasiswa IDAMAN dan gagasan pembangunan pelajar Universiti Malaysia Terengganu. Selain itu, ia juga membantu dalam membangunkan potensi kepemimpinan dalam kalangan pelajar dengan melahirkan pemimpin yang berwibawa, berintegriti, dan mampu membuat keputusan secara efektif dalam pelbagai situasi. Pelaksanaan kem ini dimulakan dengan aktiviti pengenalan dan pembinaan hubungan sesama peserta melalui Ice Breaking dan Fun Connection, yang bertujuan mewujudkan suasana harmoni dan saling percaya. Aktiviti ini berjaya membantu peserta menyesuaikan diri, meningkatkan keyakinan serta membentuk kesepaduan kumpulan sebagai asas kepada pembelajaran dan penglibatan aktif sepanjang kem berlangsung. Seterusnya, para peserta diberi ruang untuk menyuarakan pandangan, aspirasi serta hala tuju diri melalui aktiviti Voice of Aspirations, di samping diuji dengan aktiviti berasaskan pengalaman seperti Slot Botol dan Jarak yang menekankan aspek kepemimpinan, kerjasama berpasukan, penyelesaian masalah dan keupayaan membuat keputusan dalam situasi mencabar. Kem Bina Bakat Siswa (BAKAT) Siri 1 2026 diakhiri dengan Majlis Penutup dan Cultural Night, yang bukan sahaja menjadi simbol penutup program, malah platform meraikan bakat, kreativiti serta perjalanan transformasi peserta sepanjang kem berlangsung. Majlis ini turut memperlihatkan peningkatan keyakinan, keberanian serta kematangan peserta dalam menonjolkan potensi diri masing-masing. Salah seorang peserta kem menyatakan bahawa penyertaan dalam program ini telah memberi impak besar terhadap pembangunan diri dan keyakinan sebagai mahasiswa. “Kem BAKAT ini benar-benar membuka ruang untuk saya mengenali potensi diri dan berani tampil ke hadapan. Aktiviti yang dijalankan sangat berkesan dalam membina keyakinan, kemahiran komunikasi dan kesedaran tentang peranan kami sebagai mahasiswa,” ujar beliau. Tontonan: 5 Navigasi kiriman Empat Universiti Awam Turun Padang Menyantuni Komuniti Melalui Program Bakti MADANI @ Pasir Raja, Dungun: Mahasiswa Bersama Komuniti Perkasa Semangat Keprihatinan Dan Kesukarelawanan Mahasiswa UMT Wakili Negara ke Global Student Leadership Summit 2026 di Jepun
Pada pendapat saya, Kem Bina Bakat Siswa ini merupakan inisiatif yang sangat baik untuk membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut mempunyai kemahiran kepimpinan, sahsiah dan keyakinan diri. Saya tertarik dengan pendekatan mengenal pasti bakat sejak tahun pertama. Adakah program ini akan diteruskan untuk pelajar tahun berikutnya?