KUALA NERUS, 10 Oktober 2026: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menghimpunkan kira-kira 1,500 peserta terdiri daripada warga universiti dan komuniti setempat menerusi Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat UMT 2026 di Stadium Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, UMT, pada Sabtu lepas. Program anjuran Pusat Sukan dan Rekreasi, Pejabat Hal Ehwal Pelajar UMT itu bertujuan menggalakkan penglibatan warga universiti dalam aktiviti sukan dan rekreasi, selain memupuk amalan gaya hidup aktif serta sihat. Peserta terdiri daripada pegawai utama universiti, pengurusan Hal Ehwal Pelajar, Majlis Sukan Pelajar (MSP), staf, pelajar dan komuniti setempat. Antara aktiviti yang diadakan ialah senamrobik, acara 3 kilometer (km) Fun Walk, cabutan bertuah, pameran Jom Masuk Kelab oleh MSP serta Klinik Pengenalan Asas Pickleball anjuran Kelab Pickleball UMT. Program itu turut menyediakan ruang kepada pelajar dan pengusaha trak makanan untuk menjalankan aktiviti jualan, sekali gus memeriahkan sambutan berkenaan. Sambutan tersebut turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT Prof Ts Dr Noor Maizura Mohamad Noor, Ketua Pentadbiran Hal Ehwal Pelajar Encik Fadli Mamat serta beberapa ketua pusat dan pengarah universiti. Penganjuran Hari Sukan Negara peringkat universiti itu merupakan antara inisiatif UMT untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan penjagaan kesihatan fizikal dan kesejahteraan diri melalui aktiviti sukan. Selain menggalakkan penyertaan dalam aktiviti fizikal, program berkenaan turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara warga universiti dengan komuniti setempat serta memperkenalkan pelbagai pilihan sukan dan rekreasi kepada peserta. UMT berharap program seumpama itu dapat diteruskan bagi menggalakkan penyertaan berterusan dalam aktiviti sukan dan rekreasi, sekali gus membentuk komuniti kampus yang lebih aktif, sihat dan sejahtera. Tontonan: 7 Navigasi kiriman UMT Terima RM20,000.00 Bantuan Gerobok Rezeki Siswa oleh PEKEMA UMT Santuni Pelajar Terkesan Akibat Kebakaran Rumah