BANGI, 2 Sept — Dua daripada tiga beradik kembar, Nur Fatihah Nazaruddin dan Nur Insyirah Nazaruddin, memulakan langkah sebagai mahasiswa baharu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) selepas berjaya mendapat tempat dalam program Matematik Gunaan di universiti berkenaan. Kedua-duanya memilih bidang itu kerana mempunyai minat yang sama dalam Matematik Gunaan, namun masing-masing menyimpan aspirasi kerjaya berbeza. Nur Fatihah bercita-cita untuk menjadi pensyarah, manakala Nur Insyirah mengimpikan kerjaya sebagai penganalisis data. “Kami mahu terus belajar, berjaya dan memberi manfaat kepada orang lain,” kata mereka ketika menerima kunjungan Program Ziarah Bingkas Kasih Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT di kediaman keluarga mereka. Lebih menarik, seorang lagi saudara kembar mereka, Nur Aqilah, turut berhasrat menyambung pengajian di UMT dan kini masih menanti keputusan rayuan bagi merealisasikan impian tiga beradik itu untuk bersama-sama menuntut ilmu di universiti berkenaan. Kehadiran dua beradik itu di UMT bukan sekadar meneruskan perjalanan akademik, malah menjadi permulaan kepada pengalaman baharu dalam membina keyakinan diri, mengembangkan kemahiran dan mempersiapkan diri untuk mencapai cita-cita masing-masing. Dalam kunjungan berkenaan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain turut menyampaikan Bantuan Awal Yuran Pengajian Bingkas Kasih berjumlah RM200 serta Baucar Makanan Dapo MAIDAM bernilai RM300 kepada keluarga berkenaan. Sumbangan itu merupakan antara inisiatif HEPA UMT dalam membantu meringankan keperluan mahasiswa baharu dan keluarga, selain memastikan aspek kebajikan pelajar diberi perhatian ketika mereka memulakan kehidupan di universiti. Program Ziarah Bingkas Kasih HEPA UMT turut menjadi ruang untuk pihak universiti mendekati mahasiswa dan keluarga secara langsung, di samping menyampaikan sokongan moral kepada mereka dalam menghadapi fasa baharu pendidikan. Bagi Nur Fatihah dan Nur Insyirah, peluang menuntut ilmu di UMT menjadi langkah awal untuk merealisasikan impian masing-masing, manakala Nur Aqilah masih menyimpan harapan untuk menyertai mereka selepas keputusan rayuan diumumkan. Kisah tiga beradik kembar itu memperlihatkan bagaimana pendidikan menjadi landasan untuk membina masa depan, dengan setiap seorang membawa impian tersendiri meskipun berkongsi perjalanan yang hampir sama sejak kecil. Tontonan: 3 Navigasi kiriman B40 Bukan Penghalang Syamil Kejar Cita-Cita dalam Bidang Teknologi Elektrik Nury Jadikan UMT Tempat Realisasi Impian Jadi Akauntan