SPLIT — Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mewakili Malaysia pada Kejohanan Pelayaran Universiti Dunia FISU 2026 yang berlangsung di Split, Croatia dari 25 Sept hingga 3 Okt lepas.

Kejohanan dwitahunan itu menghimpunkan atlet pelajar universiti dari 15 negara yang bertanding bagi merebut kejuaraan dalam acara pelayaran di peringkat universiti dunia.

Malaysia, menerusi pasukan pelayaran UMT, merupakan antara empat wakil dari Asia yang menyertai kejohanan berkenaan bersama Jepun, Singapura dan Korea.

Delegasi Malaysia diketuai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain.

Beliau berkata penyertaan di pentas antarabangsa itu bukan sahaja memberi peluang kepada atlet UMT menguji keupayaan dalam persaingan bertaraf dunia, malah menjadi platform untuk memperkukuh pengalaman, disiplin dan semangat kesukanan dalam kalangan mahasiswa.

“Penyertaan ini merupakan satu penghormatan besar kepada UMT dan Malaysia. Kita bukan sahaja membawa nama universiti, tetapi turut membawa imej negara di pentas antarabangsa.

“Walaupun berdepan cabaran persaingan yang sengit, pengalaman berada bersama atlet universiti dari pelbagai negara memberi pendedahan yang amat bermakna kepada para atlet kita,” katanya.

Pasukan pelayaran negara pula dibarisi atlet berpengalaman yang pernah mewakili pasukan kebangsaan dan negeri sebelum melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda di UMT.

Barisan pelayar Malaysia diketuai Nur Awatif Safri, bekas pelayar kebangsaan dan Negeri Sabah, yang bertindak sebagai skipper atau kapten pasukan.

Turut menganggotai pasukan ialah Nurul Izzryn Shamsul Arrifin, bekas pelayar SUKMA Selangor; Ammar Azali, bekas pelayar SUKMA Perlis; dan Muhammad Sufendi Suharto, bekas pelayar Negeri Selangor.

Nur Awatif berkata penyertaan pada kejohanan berkenaan memberikan pengalaman yang sangat berharga, khususnya dari segi menyesuaikan diri dengan keadaan angin, ombak serta corak persaingan yang berbeza berbanding kejohanan di Malaysia.

“Pengalaman bertanding di Croatia amat bermakna kerana kami berpeluang berdepan pelayar dari pelbagai negara yang mempunyai gaya dan strategi tersendiri.

“Sebagai atlet, pengalaman ini mengajar kami untuk lebih tenang, cepat menyesuaikan diri dengan keadaan di laut dan sentiasa membuat keputusan terbaik ketika perlumbaan,” katanya.

Menurut beliau, cabaran terbesar adalah mengekalkan fokus dan konsistensi sepanjang perlumbaan, selain memastikan komunikasi antara anggota pasukan berada pada tahap terbaik.

Malaysia berjaya melepasi sesi kelayakan sebelum menamatkan saingan keseluruhan di tempat ke-14 daripada 15 negara yang mengambil bahagian.

Penyertaan berkenaan mencerminkan komitmen UMT dalam memperkukuh pembangunan sukan berprestasi tinggi dalam kalangan mahasiswa, selain membuka ruang kepada atlet universiti untuk membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.