Kuala Lumpur, 12 Julai 2025 – Bertemakan “Golden Threads of Yesterday”, majlis gilang-gemilang UMT Grand Alumni Homecoming 2025 yang julung kali dianjurkan telah berjaya menghimpunkan lebih 300 alumni dari pelbagai generasi di Taming Sari Grand Ballroom, Royale Chulan Hotel Kuala Lumpur. Majlis ini bukan sekadar sebuah pertemuan penuh nostalgia, malah menjadi titik tolak kepada anjakan besar peranan alumni dalam mendukung agenda pembangunan dan kelestarian Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Majlis telah diserikan dengan kehadiran YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali, Pro Canselor UMT merangkap Pengerusi KWSP, serta Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Prof. Dr. Mohamad Salmi Sohod, Naib Canselor, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (HEPA), Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain, serta barisan ahli pengarah UMT dan pengurusan tertinggi universiti.

Dalam ucapannya, Tan Sri Zuki menyifatkan alumni sebagai benang-benang emas yang menghubungkan warisan masa lalu dengan aspirasi masa depan. Beliau menekankan bahawa alumni bukan sekadar memori, tetapi adalah aset strategik universiti – cerminan kejayaan institusi, pembawa nama baik alma mater serta duta kepada nilai yang diperjuangkan UMT.

“Saya percaya alumni adalah nadi penggerak kecemerlangan universiti. Daripada yang kini menjadi Ketua Setiausaha kementerian, CEO syarikat terkemuka, usahawan berjaya hinggalah profesional dalam pelbagai bidang, mereka semua adalah bukti keberkesanan pendidikan UMT,” ujar beliau.

Salah satu sorotan utama majlis ialah pelancaran inisiatif “Projek Wakaf Ilmu: Rumah Pendidikan dan Kebajikan Alumni”. Ia merupakan satu projek wakaf yang menyasarkan kutipan RM500,000 untuk membina penempatan sementara kepada pelajar asnaf, alumni muda dan staf sementara sekitar kampus. “Dengan nilai wakaf serendah RM250 satu lot, saya percaya kita boleh cipta legasi alumni yang kekal, sekali gus menyemai semangat kasih dan tanggungjawab kepada generasi seterusnya,” kata Tan Sri Zuki sambil menyeru semua alumni menyokong inisiatif wakaf pendidikan ini.

Selain itu, majlis turut menyaksikan pra peluncuran Majalah SAUH, sebuah penerbitan yang membawa makna simbolik dalam dunia nautika sebagai ‘titik tambat’ sebagai lambang hubungan alumni dengan UMT yang kekal berakar walau berada di mana-mana pelosok dunia. Majlis turut dimeterai dengan pertukaran Surat Niat antara HEPA dan UMT SEA Sdn Bhd bagi mempromosi kursus-kursus kepada alumni, termasuk tawaran diskaun istimewa kepada alumni yang mendaftar. Usaha ini dilihat sebagai sebahagian langkah memperluas keterlibatan alumni dalam dimensi pembangunan ekonomi dan pendidikan UMT.

UMT Grand Alumni Homecoming 2025 bukan sekadar majlis makan malam, tetapi adalah lambang penghargaan, aspirasi dan pengiktirafan terhadap peranan alumni. Ia juga menjadi bukti bahawa UMT sentiasa menyalakan obor kebersamaan dalam menuju masa depan yang lebih gemilang. Dengan semangat “Golden Threads of Yesterday”, alumni UMT terus diangkat sebagai tulang belakang kepada kecemerlangan berterusan UMT sebagai universiti yang bukan sekadar tempat menimba ilmu, tetapi rumah kepada kenangan, nilai dan legasi yang tidak ternilai. Sidang Redaksi HEPA Bingkas mengucapkan tahniah kepada Pusat Alumni atas penganjuran program ini.

 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *