Kuala Nerus, 12 Mac 2025 – Semangat Ramadan terus menyinari jiwa apabila Pusat Alumni, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Persatuan Alumni UMT menganjurkan program Jalinan Kasih Ramadan: Iftar Amal Alumni UMT di Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Darul Akhyar, Batu Rakit, Kuala Nerus. Program ini telah menghimpunkan pelbagai pihak termasuk pengurusan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Persatuan Alumni UMT, Penyelaras Alumni Fakulti serta barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMT. Seramai 89 anak yatim diraikan dengan penuh mesra dan kasih sayang dalam program Jalinan Kasih Ramadan: Iftar Amal Alumni UMT. Iftar amal ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara alumni UMT dan masyarakat setempat, di samping menzahirkan rasa prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik. Senyuman dan kegembiraan jelas terpancar di raut wajah anak-anak yatim membuktikan bahawa program ini berjaya mencapai matlamatnya. Dengan penganjuran program seperti ini, diharapkan semangat kebersamaan dan kasih sayang dalam kalangan alumni serta masyarakat setempat dapat terus diperkukuhkan lagi. Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga bulan untuk menyemai nilai kemanusiaan dan keprihatinan sosial. Pusat Alumni komited untuk meneruskan usaha sebegini dalam menyumbang kepada kesejahteraan komuniti pada masa akan datang. Sidang Redaksi HEPA mengucapkan tahniah kepada Pusat Alumni di atas penganjuran program yang bermakna ini. Pengetua Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Darul Akhyar, Encik Ahmad Irsyad Mustaqim bin Zamri, dalam ucapan alu-aluannya menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas keprihatinan pihak UMT terhadap kebajikan anak-anak yatim di pusat tersebut. “Kami amat berbesar hati menerima kunjungan daripada Pusat Alumni UMT yang sudi meluangkan masa dan berkongsi rezeki bersama anak-anak di sini. Program seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada mereka dari segi kebajikan, malah turut menyemai kasih sayang dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat,” ujar beliau. Antara aktiviti yang telah dijalankan sepanjang program ini berlangsung adalah sesi ramah mesra dan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim dan miskin Darul Akhyar oleh Timbalan Naib Canselor HEPA UMT, YBhg. Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain. Sesi ramah mesra ini turut memberi ruang kepada mereka berkongsi pengalaman dan membina hubungan erat antara pengurusan HEPA, alumni dan anak-anak yatim. Selain itu, turut diadakan slot motivasi ringkas Ramadan yang disampaikan oleh Encik Mohamad Daniel Haiqal bin Mohamad Omar, Pegawai Psikologi, Pusat Kaunseling dan Kesejahteraan Mahasiswa (PKKM), HEPA yang juga merupakan alumni UMT. Program diteruskan dengan majlis berbuka puasa dan solat maghrib berjemaah. Menurut Pengarah Pusat Alumni, YBrs. Profesor Madya Chm. Dr. Mohd Zul Helmi bin Rozaini, program ini merupakan salah satu inisiatif Pusat Alumni dalam memperkukuh peranan dalam masyarakat. “Kami berharap program sebegini dapat diteruskan setiap tahun sebagai tanda keprihatinan dan kasih sayang terhadap anak-anak yatim. Ia juga memberi peluang kepada alumni untuk kembali menyumbang kepada masyarakat dengan cara yang lebih bermakna,” katanya. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua alumni dan warga UMT yang sudi menyumbang bagi menjayakan program ini. Hasil sumbangan sebanyak RM2,100.50 telah disampaikan kepada Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Darul Akhyar. Tontonan: 1 Navigasi kiriman UMT Grand Alumni Homecoming 2025: Jalinan Emas Mengukir Masa Depan