Kuala Lumpur, 19 Mac 2025 – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2024/2025 Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Malaya (UM), serta Pertubuhan Jejak Jalanan telah berjaya menganjurkan Program Eratkan Kasih, Santuni Insan 2025 di sekitar Lembah Klang, Kuala Lumpur.

Aktiviti utama program ini termasuk pengagihan makanan berbuka puasa dan sahur serta sumbangan pakaian terpakai kepada golongan gelandangan di sekitar Lorong Haji Taib 2, Kuala Lumpur. Selain itu, sumbangan pakaian terpakai hasil inisiatif Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2024/2025 Universiti Malaysia Terengganu turut disalurkan kepada penerima. Selain bantuan fizikal, Pusat Kaunseling dan Kesejahteraan Mahasiswa (PKKM) turut menawarkan sesi Psychological First Aid (PFA) dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UMT 2024/2025, Saudara Muhammad Aqasha Mukris bin Zainuri, mengambil inisiatif menawarkan perkhidmatan gunting rambut secara percuma.

Timbalan Naib Canselor (HEPA), UMT, YBhg. Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain menegaskan bahawa program ini adalah sebahagian daripada usaha universiti dalam melahirkan mahasiswa idaman yang mempunyai nilai empati, keprihatinan dan tanggungjawab sosial.

“Melalui program seperti ini, mahasiswa akan dapat memahami realiti kehidupan golongan kurang bernasib baik serta berpeluang untuk menghayati nilai-nilai kemanusiaan yang penting dalam pembentukan sahsiah diri. Usaha ini selaras dengan komitmen HEPA UMT dalam melahirkan mahasiswa idaman yang berketerampilan dan cakna terhadap isu sosial,” katanya. Program ini diserikan lagi dengan kehadiran YBhg. Profesor Dr. Zamri bin Radzi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Malaya yang bersama-sama menyantuni gelandangan serta menyokong inisiatif kebajikan ini.

“Terima kasih kepada semua sukarelawan kerana berjaya melaksanakan program ini dan kita sama – sama dapat mengeratkan silaturahim dalam bulan yang mulia ini”. Ujar salah seorang penerima bantuan di kawasan tersebut, Puan Nor, 50 tahun.

Pengarah Program, Saudara Muhammad Afiq Naqiuddin bin Mohd Afizal, yang juga merupakan Exco Kesukarelawan dan Kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Terengganu Sesi 2024/2025, turut menyatakan harapannya agar program ini dapat memberi impak positif kepada mahasiswa serta golongan yang dibantu.

Sebagai sebahagian daripada usaha advokasi, program Eratkan Kasih, Santuni Insan turut mendapat liputan dalam slot Apa Khabar Malaysia di BERNAMA TV pada 21 Mac 2025. Pengarah program, Muhammad Afiq Naqiuddin bin Mohd Afizal berkongsi bagaimana program ini selari dengan gagasan Menatah Mahasiswa Idaman yang diperkenalkan oleh Timbalan Naib Canselor (HEPA), UMT. Beliau turut mengulas manfaat yang diperoleh mahasiswa dalam membina kepekaan sosial dan tanggungjawab terhadap masyarakat. Dalam temubual ini juga, YBhg. Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain turut menjelaskan bagaimana inisiatif ini mendukung prinsip IHSAN dalam rangka Malaysia MADANI serta memperkukuh budaya prihatin dalam kalangan mahasiswa.

Program seperti ini memberi manfaat kepada golongan yang disantuni dan ia menjadi wadah pembelajaran berharga kepada mahasiswa dalam memahami realiti masyarakat serta menghayati nilai-nilai kemanusiaan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *