Raub, 16 Februari 2025 – Bakat kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Malaysia Terengganu sesi 2024/2025 telah diasah dan dipupuk melalui penganjuran Bengkel Pendedahan Pengurusan dan Pemantapan Organisasi (BPO) bertempat di Kela Adventure Camp, Raub, Pahang. Program yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan dan Pemerkasaan Mahasiswa (PPPM) ini telah berjaya memberi pendedahan secukupnya kepada barisan MPP bagi memupuk sifat kebersamaan mereka sebagai satu pasukan selaras dengan beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu nilai Pendidikan Berkualiti (SDG 4), nilai Mengurangkan Ketidaksamaan (SDG 10), dan nilai Keamanan, Keadilan serta Institusi yang Kuat (SDG 16). Melalui bengkel yang berlangsung selama 3 hari 2 malam ini, pelbagai nilai tambah turut diterapkan kepada mereka bagi memperkukuhkan nilai kepemimpinan dan kemahiran insaniah iaitu melalui penyediaan aktiviti termasuk latihan kecergasan, aktiviti berkumpulan, night walk, water confident, bamboo rafting, jungle trekking dan sesi refleksi. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menguji ketahanan fizikal dan mental para MPP, malah mengukuhkan semangat kerja berpasukan yang padu dalam kalangan mereka. Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, saudara Muhammad Aqasha Mukris bin Zainuri, dalam ucapannya menyatakan penghargaan kepada pihak penganjur dan barisan MPP lain atas komitmen penuh dalam menjayakan bengkel ini. “Kami sangat teruja menyertai bengkel ini kerana pelbagai ilmu berharga telah diterapkan. Kami akan gunakan kemahiran ini sebaiknya dalam memastikan pengurusan organisasi MPP sesi ini berjalan dengan jayanya”. Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UMT, YBhg. Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain melalui ucapan perasmian beliau telah memberi saranan kepada para MPP supaya bekerja secara berpasukan dan bukan secara silo kerana barisan MPP merupakan pasukan utama yang berkhidmat untuk mahasiswa. Menurut beliau lagi, kewibaan MPP perlu menjadi tauladan yang baik kepada mahasiswa lain. “Bengkel ini bukan sekadar platform latihan, tetapi juga medan pembentukan sahsiah dan jati diri pemimpin mahasiswa bagi menggalas tanggungjawab sebagai suara mahasiswa. Perancangan dan susunan aktiviti yang dijalankan sepanjang bengkel ini merupakan inisiatif dari PPPM dalam menerapkan nilai dan pembangunan sahsiah yang seharusnya ada dalam diri seorang pemimpin mahasiswa universiti. Pihak penganjur mengharapkan ahli MPP UMT sesi 2024/2025 akan memanfaatkan bengkel ini dan akan terus mengaplikasikan ilmu dan pengalaman yang diperoleh dalam merangka gerak kerja yang lebih efektif demi kepentingan mahasiswa UMT. Mereka haruslah komited menerapkan lapan keutamaan prihatin siswa serta memperjuangkan suara mahasiswa dalam aspek kebajikan, akademik dan pembangunan sahsiah. Sidang redaksi HEPA berharap aspirasi kepimpinan MPP sesi ini akan membawa aura positif dalam komuniti mahasiswa di UMT. Tontonan: 2 Navigasi kiriman Kunjungan Hormat Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) kepada Ahli Pengurusan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Program Eratkan Kasih, Santuni Insan Semai Darmabakti Jayakan Mahasiswa Idaman