Kuala Nerus, 15 Mac 2025 – Program “Kotak Jiwa: Lentera Ramadan” anjuran Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kediaman, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berlangsung dengan jayanya di Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) hari ini. Program ini bertujuan menyemarakkan semangat Ramadan serta menyuntik nilai keinsafan dan ketakwaan dalam kalangan warga universiti dan masyarakat setempat.

Majlis ini disempurnakan oleh YBhg. Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, yang turut berkongsi pandangan mengenai kepentingan Ramadan sebagai bulan penyucian jiwa dan memperkukuh hubungan dengan Allah serta sesama manusia.

Dalam ucapannya, Profesor Dr. Mohd Izani menegaskan kepentingan program seperti ini dalam membentuk sahsiah mahasiswa yang seimbang dari segi akademik dan kerohanian. “Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, tetapi juga waktu terbaik untuk kita muhasabah diri dan memperbaiki hubungan sesama insan,” katanya. Turut hadir ke majlis adalah Prof. Madya Ts. Dr. Nik Aziz Nik Ali, Pengarah Kolej Kediaman, Encik Zulkarni Ismail, Timbalan Pengarah Kolej Kediaman Dalam Kampus dan Encik Mohd Yusmiza Mamat, Timbalan Pengarah Kolej Kediaman Luar Kampus.

Program ini merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh Kolej Kediaman bagi menyokong dan memupuk nilai darmabakti dalam aktiviti keagamaan dan kebajikan yang disediakan. UMT komited dalam menganjurkan lebih banyak program berteraskan nilai insaniah dan pembangunan sahsiah bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga mempunyai jati diri yang tinggi dan nilai murni yang kukuh.

Dengan bertemakan “Lentera Ramadan”, program ini turut menampilkan pelbagai aktiviti seperti pertandingan Lisanul Haq iaitu pertandingan azan, pertandingan hafazan, pertandingan kaligrafi khat, sesi perkongsian ilmu, dan Vivid Ramadan yang memberi manfaat kepada 110 pelajar Madrasah Seberang Tuan Chik dan 20 pelajar Madrasah Darul Iman. Terima kasih diucapkan kepada pihak penaja program yang menyumbang iaitu RHB Bank, RSF CAFFOLDERS, PBG Maju Cafe dan Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kediaman.

Bulan Ramadan menjadi platform terbaik bagi institusi pendidikan untuk membudayakan nilai keagamaan serta memperkukuh ukhwah dalam kalangan warga kampus dan masyarakat sekeliling. Sidang Redaksi HEPA mengucapkan tahniah kepada Kolej Kediaman di atas penganjuran program yang bermakna ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *