Raub, Pahang – Universiti Malaysia Terengganu melalui Pusat Pembangunan dan Pemerkasaan Mahasiswa (PPPM), Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) telah berjaya menganjurkan Kem Kepemimpinan Mahasiswa (KEMSIS) 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 21 hingga 23 Mei 2026 bertempat di Kela Adventure Camp, Raub, Pahang. Program ini menghimpunkan barisan pemimpin mahasiswa serta wakil kelab dan persatuan universiti dalam usaha memperkukuhkan pembangunan kepemimpinan holistik dan pemerkasaan mahasiswa.

Penganjuran KEMSIS 2026 selaras dengan aspirasi Sustainable Development Goals (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh) serta SDG 17 (Kerjasama Demi Matlamat), menerusi pengisian yang menekankan pembangunan kepemimpinan, pengukuhan integriti, budaya demokrasi kampus dan kolaborasi strategik dalam memperkasa potensi mahasiswa secara holistik.

“Program berkonsepkan latihan kepemimpinan luar kampus ini dirancang bagi melahirkan mahasiswa yang berdaya kepemimpinan tinggi, berfikiran strategik, berintegriti serta mampu menjadi pemimpin masa hadapan yang berdaya saing. Sepanjang program, peserta didedahkan kepada pelbagai aktiviti pembangunan sahsiah, latihan berpasukan, pengukuhan nilai kerjasama serta pengisian kepemimpinan bersama tokoh dan panel jemputan yang berpengalaman.”

KEMSIS 2026 turut menampilkan pengisian istimewa bersama tiga figura berpengaruh yang berkongsi pengalaman, inspirasi dan pandangan berkaitan kepemimpinan mahasiswa serta pembangunan potensi diri. Antara tokoh jemputan ialah Encik Agha Khilfi Suarno, Ahli Lembaga Pengarah (Alumni) UMPSA yang membawakan sesi From Campus to Corporate Leadership, Encik Zulkifli Che Hussin, Pengurus, Kolaborasi dan Strategik, YPS, Menerusi Pengisian Berkaitan Pemerkasaan Dan Kebajikan Mahasiswa, serta Muhammad Danial Khaleq Mohd Ali, Pegawai Tadbir, Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan Pelajar (SELECT), JHEP, UUM yang menyampaikan perkongsian bertemakan Pembinaan Generasi Mahasiswa Beradab Dan Berintegriti.

Majlis Perasmian Penutup KEMSIS 2026 telah disempurnakan oleh Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa KEMSIS 2026 bukan sekadar program kepemimpinan mahasiswa, malah merupakan platform strategik dalam melahirkan pemimpin pelajar yang holistik, berintegriti dan berdaya saing.

Menurut beliau, pengisian program yang menggabungkan elemen fizikal, intelektual, spiritual dan kepemimpinan lapangan mampu membentuk mahasiswa yang aktif, matang dalam membuat keputusan serta berani menyuarakan pandangan secara berhemah.

Menurut salah seorang peserta, KEMSIS 2026, “Program ini banyak memberi pendedahan tentang kepemimpinan di samping melatih kami untuk bekerjasama, berkomunikasi dan berfikir secara lebih matang dalam membuat keputusan. Pengisian bersama panel jemputan turut menjadi sumber inspirasi kepada kami sebagai mahasiswa,” katanya.

Selain itu, antara pengisian program Wave of Leadership yang menampilkan aktiviti water confident dan water trekking bagi membina keberanian, keyakinan diri serta semangat kerja berpasukan dalam kalangan peserta. Program turut menampilkan sesi Aspirasi Bersama Penasihat MPP dan Kelab Persatuan UMT yang menjadi platform interaksi dua hala antara mahasiswa dan pihak pengurusan berkaitan aspirasi serta hala tuju kepemimpinan mahasiswa universiti.

Beliau turut menyatakan bahawa KEMSIS 2026 yang menampilkan tokoh dan penceramah berpengalaman daripada pelbagai latar belakang profesional serta kepemimpinan mahasiswa telah memberi nilai tambah kepada pembangunan potensi mahasiswa UMT.

Menurut beliau, peluang berinteraksi secara langsung dengan tokoh-tokoh tersebut menjadi pemangkin motivasi untuk terus memperkasa diri dan membentuk identiti sebagai mahasiswa yang cemerlang dalam aspek akademik, kepemimpinan dan sahsiah. Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan kepemimpinan mahasiswa perlu diperkasa secara berterusan bagi melahirkan graduan yang berintegriti, berdaya tahan dan berkeupayaan memimpin dalam mendepani cabaran masa hadapan.

KEMSIS 2026 turut dilihat sebagai inisiatif penting universiti dalam memperkukuh agenda pembangunan mahasiswa selaras dengan aspirasi pendidikan tinggi negara untuk melahirkan graduan yang holistik, seimbang dan berdaya kepemimpinan tinggi. Sidang Redaksi HEPA mengucapkan tahniah kepada Pusat Pembangunan dan Pemerkasaan Mahasiswa (PPPM), HEPA UMT di atas program yang dijalankan ini.