Kuala Nerus, 22 Februari 2026 – Jawatankuasa Perwakilan Luar Kampus (JPLK) terus komited dalam menyemarakkan semangat kebersamaan dan nilai keinsanan dalam kalangan mahasiswa melalui penganjuran Jejak Ihsan Ramadan Luar Kampus yang berlangsung dengan penuh keberkatan di Dewan Al-Falah, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada 22 Februari 2026.

Program ini dianjurkan bersempena bulan Ramadan sebagai platform memperkukuh hubungan silaturahim antara warga kampus dan komuniti luar khususnya pelajar tahfiz.

Program ini melibatkan penyertaan seramai 80 orang yang terdiri daripada mahasiswa UMT, pelajar tahfiz daripada Maahad Al – Tahfiz Wa Al – Dirasaat Al – Islamiyyah serta Madrasah Seberang Tuan Chik. Kehadiran para peserta telah memeriahkan suasana majlis berbuka puasa yang berlangsung dalam suasana penuh harmoni dan kekeluargaan.

Selain daripada majlis berbuka puasa, program ini turut diisi dengan beberapa pengisian yang bermanfaat kepada para peserta. Antaranya pertandingan azan dan tebuk surah lazim, pertandingan kuiz secara individu, Tadarus Al- Quran serta majlis berbuka puasa yang disusuli dengan sesi ramah mesra antara mahasiswa dan pelajar tahfiz.

Aktiviti ini bukan sahaja membolehkan para pelajar mengasah kemahiran kepimpinan dan komunikasi, tetapi juga memberi peluang kepada pelajar tahfiz untuk menunjukkan bakat mereka dalam suasana yang penuh kasih sayang dan sokongan.

Sebagai sebahagian daripada usaha menyokong komuniti dan institusi pendidikan tahfiz, pihak penganjur telah menyalurkan sumbangan duit raya yang berjaya dikumpulkan melalui kempen kutipan awam di media sosial.

Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan menyantuni pelajar tahfiz, malah turut memperkukuh jalinan kerjasama antara universiti dan masyarakat.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Pengarah Luar Kampus Encik Mohd Yusmiza bin Mamat yang dalam ucapannya menegaskan kepentingan memupuk nilai kebersamaan, kesyukuran serta semangat berkongsi rezeki dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat.

Suasana di Dewan Al-Falah jelas dipenuhi dengan semangat ukhuwah apabila mahasiswa UMT bersama pelajar tahfiz duduk bersama menikmati juadah berbuka puasa.

Detik berbuka puasa tersebut menjadi simbolik kepada nilai perkongsian rezeki serta rasa syukur atas nikmat yang dikurniakan.

Secara keseluruhannya, Program Jejak Ihsan Ramadan Luar Kampus ini berjaya mencapai matlamatnya dalam menyemarakkan semangat Ramadan serta mengeratkan hubungan silaturahim antara mahasiswa UMT dan komuniti.

Program seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai salah satu usaha memperkukuh nilai kemanusiaan, kebersamaan serta semangat berkongsi dalam kalangan warga universiti.

Sidang Redaksi HEPA mengucapkan tahniah kepada JPLK Kolej Kediaman (KK), HEPA UMT di atas program yang dijalankan ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *