KUALA NERUS, 10 Januari – Kolej Kediaman Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah merangka dan melaksanakan Program Transisi Mahasiswa @KK UMT, satu inisiatif khas bagi membantu pelajar baharu menyesuaikan diri dengan suasana kehidupan di kolej kediaman serta persekitaran kampus.

Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuk taklimat keselamatan dan kebersihan kolej, sesi ice-breaking, Latihan Dalam Kumpulan (LDK), ceramah motivasi bertemakan “Menjadi Mahasiswa Idaman”, simulasi kehidupan kolej, forum santai komuniti kolej, aktiviti riadah serta sesi kaunseling yang memberi penekanan kepada konsep kehidupan di kampus.

Program ini berfungsi sebagai medium pengenalan awal kepada budaya kehidupan kolej, etika, aspek keselamatan, kebersihan serta kemudahan yang disediakan oleh pihak Kolej Kediaman UMT. Pelaksanaannya dirancang secara sekali gus atau berfasa, bergantung kepada bilangan pelajar, bagi memastikan keberkesanan program serta kelancaran pengurusan logistik.

Program ini turut memberi penekanan kepada pembentukan semangat kekitaan dan jati diri dalam kalangan pelajar melalui aktiviti berkumpulan seperti mini explorace, sesi ta’aruf dan penyelesaian masalah. Program diakhiri dengan sesi rumusan, penyampaian hadiah dan sijil sebagai penghargaan kepada para peserta.

Secara keseluruhannya, Program Transisi Mahasiswa @KK UMT dilihat sebagai satu platform strategik dalam menyokong proses adaptasi pelajar baharu, selain memperkukuh hubungan antara pelajar dan pihak pengurusan kolej. Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen Kolej Kediaman UMT dalam melahirkan mahasiswa yang berdisiplin, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran kehidupan kampus. Sidang Redaksi HEPA mengucapkan tahniah kepada Kolej Kediaman (KK), HEPA UMT di atas program yang dijalankan ini.

Program yang dilaksanakan selama dua hari satu malam ini melibatkan penyertaan sekitar 80 hingga 100 orang pelajar bagi setiap siri, dan berlangsung sekitar kawasan kolej kediaman UMT. Sepanjang program, pelajar didedahkan dengan pelbagai pengisian berbentuk interaktif dan berfokuskan pembangunan diri.

Antara objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan awal berkaitan kehidupan di kolej kediaman, mewujudkan hubungan erat antara pelajar dan pihak pengurusan kolej, membangunkan sahsiah serta nilai murni mahasiswa idaman selaras dengan aspirasi universiti, di samping meningkatkan kesedaran terhadap aspek keselamatan dan etika dalam komuniti kolej.