Pada 27 Mac 2025, Pusat Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (UMT-GEM) telah menganjurkan Program Bakul Rezeki Aidilfitri: Prihatin dan Berkongsi dengan menyantuni komuniti setempat di Kampung Kubur Timah, Kuala Nerus, Terengganu. Penganjuran program ini adalah untuk memupuk nilai prihatin selain mengukuhkan tanggungjawab sosial antara Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan komuniti setempat. Program ini melibatkan 10 keluarga terpilih yang terdiri daripada golongan asnaf, B40 dan keluarga miskin yang menanggung ahli keluarga yang terlantar sakit serta menghidap penyakit kronik. Program pada penghujung Ramadan ini diserikan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor (HEPA), YBhg. Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain, Pengerusi MAXIS Terengganu, Encik Ronan Chan, Karyawan Tamu Pelawat UMT, Marbitter, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), Encik Abu Bakar bin Puteh, Pengurusan HEPA, Felo Bersekutu serta pegawai dan staf HEPA, UMT. Program dimulakan dengan penyerahan sumbangan ke rumah pertama oleh YBhg. Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain iaitu barang keperluan yang disumbangkan oleh MAXIS Terengganu serta sumbangan peribadi individu. Penerima pertama ialah Encik Abdullah bin Yusof yang merupakan pesakit terlantar. Penerima kedua dan ketiga iaitu Puan Hasnah bin Puteh dan Puan Selmih bin Seman merupakan ibu tunggal berstatus OKU. ”Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada pihak UMT di atas sumbangan yang diberikan dan bersyukur kerana tidak melupakan kami menjelang Hari Raya Aidilfitri. Pemberian ini sedikit sebanyak dapat membantu kami dalam membuat persediaan menyambut Hari Raya.” Ujar Encik Fauzi bin Mamat, salah seorang penerima yang juga merupakan seorang OKU fizikal. Program ini telah membawa impak positif kepada komuniti yang memerlukan kerana mereka rasa lebih dihargai, tidak dipinggirkan. Budaya cakna dalam kalangan warga universiti juga dapat dipupuk selain memberi peluang kepada mereka untuk berkongsi dan saling membantu kepada golongan yang memerlukan. Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal pelajar dan Alumni), program ini juga menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan antara pengurusan HEPA, agensi luar seperti MAXIS, karyawan tamu pelawat, felo bersekutu serta komuniti setempat. Melalui sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, program seperti ini diyakini mampu memberikan impak yang lebih besar pada masa hadapan. Program ini bukan sahaja menjadi wadah untuk pengurusan universiti berbakti kepada masyarakat, tetapi juga bertujuan meningkatkan kesedaran sosial dan nilai keprihatinan warga universiti terhadap komuniti setempat”. Tahniah kepada penganjur, sidang redaksi berharap usaha ini dapat diteruskan sebagai tradisi tahunan dalam menyemai nilai kasih sayang dan kebersamaan. Tontonan: 2 Navigasi kiriman Seminar Memperkasakan Amalan Terbaik (SMART) Kor Sukarelawan Siswa Siswi (SUKSIS) Universiti Awam Tahun 2025 “Aidilfitri HEPA 2025: Titipan Kasih Buat Pelajar Dan Komuniti Madani”