Kuala Nerus, 22 Januari 2025 – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Sesi 2024/2025 telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UMT yang turut melibatkan semua Ahli Pengurusan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA).

Timbalan Naib Canselor (HEPA) telah menitipkan nasihat dan amanat kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMT sebagai panduan dalam melayari bahtera kepimpinan sepanjang sesi ini. Beliau menekankan bahawa setiap perancangan yang diatur oleh MPP haruslah seiring dan bersinergi dengan pusat-pusat tanggungjawab di bawah HEPA demi menjamin pelaksanaan yang tuntas dan berkesan. MPP turut diseru untuk mencipta dan memperkasa inisiatif-inisiatif baharu serta menganjurkan program yang berimpak tinggi sekali gus memperkaya pengalaman mereka di kampus.

Semasa kunjungan hormat ini, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), saudara Muhammad Aqasha Mukris bin Zainuri, telah membentangkan moto, visi, misi dan hala tuju MPP bagi Sesi 2024/2025. MPP UMT memperkenalkan gagasan 8 Keutamaan Prihatin Siswa sebagai panduan utama kepimpinan pada sesi ini, yang merangkumi teras-teras Kebajikan Mahasiswa, Suara Siswa, Kecemerlangan Sukan, Sejahtera Siswa, Pemerkasaan Mahasiswa, Aspirasi Kelab dan Persatuan, Kebitaraan Akademik, serta Inkubator Inovasi dan Keusahawanan. Gagasan ini akan menjadi panduan merangkumi kepentingan mahasiswa secara inklusif.

Dalam pada itu, MPP diamanahkan untuk menjadi duta universiti melalui promosi program-program pengajian yang ditawarkan di UMT. Inklusiviti UMT yang ada perlu ditonjolkan bagi meningkatkan kadar pelajar baharu yang menyambung pengajian mereka di UMT. Beliau turut mengingatkan akan pentingnya memperkukuh kebudayaan mahasiswa, bukan sekadar melalui kesenian yang indah, tetapi juga dengan menyemai nilai-nilai murni yang luhur di dalam sanubari setiap mahasiswa.

Akhir sekali, menggalakkan penglibatan mahasiswa sebagai jawatankuasa pelaksana dalam setiap program anjuran MPP, kerana melalui keprihatinan dan semangat kebersamaan ini, akan terjalin ukhwah yang erat antara pemimpin mahasiswa dan komuniti kampus, melakar kisah kepimpinan yang gemilang dan bermakna. Tahniah dan syabas sidang redaksi BINGKAS ucapkan kepada MPP UMT sesi 2024/2025.

Kunjungan ini merupakan kunjungan sulung MPP ke HEPA setelah tamatnya Pilihan Raya Kampus (PRK) UMT yang dijalankan sepenuhnya secara dalam talian melalui platform UMTMemilih pada 14 November 2024.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *