Kuala Nerus, 9 Mac 2026 – Kelab Kebajikan dan Rekreasi (KKR), Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menganjurkan Program Ziarah KKR–HEPA Bersama Komuniti di sekitar Kampung Kubang Badak dan Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus. Program ini dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif kebajikan dan tanggungjawab sosial universiti bagi menyantuni komuniti setempat khususnya golongan yang memerlukan seperti golongan asnaf, ibu tunggal serta warga emas yang menetap di kawasan sekitar universiti. Ini telah melibatkan sebanyak 10 buah rumah penduduk bagi menyampaikan sumbangan serta bertanya khabar keadaan mereka. Sumbangan yang diberikan melibatkan barangan keperluan dapur dan bantuan kewangan bagi membantu meringankan beban penerima. Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan warga universiti terhadap kebajikan masyarakat setempat di samping mengeratkan hubungan antara universiti dan komuniti sekitar. Penyerahan sumbangan telah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Malaysia Terengganu iaitu YBhg. Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain bersama En. Zolarman bin Muhamad, Timbalan Pengarah Pusat Alumni merangkap Pengerusi Kelab Kebajikan dan Rekreasi HEPA (KKR HEPA). Kehadiran mereka bersama ahli kelab, sukarelawan staf HEPA dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMT telah memberikan semangat dan sokongan moral kepada komuniti yang diziarahi. Menurut Mohd Izani Mohd Zain, sejajar dengan peluncuran KKR HEPA semasa Majlis Penzahiran Iltizam HEPA 2026 pada 16 Februari 2026 lalu, dengan menggariskan 10 Iltizam iaitu Mengangkat Martabat dan Keupayaan HEPA, program seumpama ini mencerminkan iltizam dan komitmen HEPA UMT dalam memastikan hubungan antara universiti dan komuniti sentiasa diperkukuhkan. Beliau menegaskan bahawa pihak universiti bukan sahaja berperanan sebagai institusi pendidikan, malah turut memikul tanggungjawab sosial untuk membantu masyarakat sekitar. Tambah beliau lagi, pendekatan turun padang seperti ini memberi peluang kepada warga universiti untuk lebih memahami realiti kehidupan komuniti setempat serta menyemai nilai empati, kesukarelawanan dan keprihatinan sosial dalam kalangan warga kampus. Penganjuran Program Ziarah KKR–HEPA Bersama Komuniti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha berterusan dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara Universiti Malaysia Terengganu dan masyarakat setempat, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan komuniti di sekitar kawasan Kuala Nerus. Sidang Redaksi HEPA mengucapkan tahniah kepada Kelab Kebajikan dan Rekreasi (KKR), HEPA UMT di atas pelaksanaan program yang cukup bermakna pada bulan yang mulia ini. Tontonan: 6 Navigasi kiriman Program Tautan Mesra: Memupuk Nilai Kepimpinan dan Kerjasama Mahasiswa Ramadan Di Hati: Semarakkan Penghayatan Ramadan Dalam Kalangan Alumni UMT