Pulau Pangkor, Perak | 7 Februari 2026 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju kelestarian marin menerusi penganjuran Program Kesedaran Marin: Waste to Eco Vibe, satu inisiatif berimpak tinggi yang menggabungkan elemen pendidikan alam sekitar, kesedaran komuniti dan tindakan lestari dalam menangani isu pencemaran sisa plastik.

Program yang berlangsung di Pulau Pangkor ini melibatkan seramai 10 orang pelajar UMT daripada tiga kelab gabungan iaitu Kelab Gabungan Sukarelawan Siswa (GASS), Sustainable Ocean Alliance (SOA) UMT dan Young Conservationist Club (YCC) UMT, yang bertindak sebagai fasilitator, pendidik lapangan dan ejen perubahan kepada komuniti setempat.

Program ini turut disertai oleh 30 orang murid Sekolah Kebangsaan Seri Pangkor, sekali gus membuka ruang kepada pembudayaan nilai cinta alam sekitar sejak usia muda. Pendekatan ini diyakini mampu membentuk generasi yang lebih peka terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar, khususnya ekosistem marin yang semakin terancam akibat pencemaran plastik.

Aktiviti utama program adalah penghasilan EcoBrick, iaitu bahan binaan alternatif mesra alam yang dihasilkan daripada sisa plastik. Para peserta didedahkan secara praktikal kepada keseluruhan proses penghasilan EcoBrick, bermula daripada pengumpulan, pengasingan, pembersihan dan pengeringan sisa plastik, sebelum dipadatkan ke dalam botol plastik mengikut ketumpatan yang ditetapkan.

Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) yang diterapkan menjadikan penyampaian ilmu lebih berkesan dan bermakna, sekali gus menghubungkan teori dengan realiti persekitaran sebenar. Hasil EcoBrick yang dihasilkan kemudiannya dimanfaatkan untuk pembinaan kerusi, rak serbaguna dan pasu, membuktikan bahawa sisa yang dianggap tidak bernilai mampu ditransformasikan menjadi aset komuniti yang fungsional dan lestari.

Program ini telah dirasmikan dan diserikan dengan kehadiran YBrs. Tuan Haji Asmadi bin Teh, Pegawai Khas YB Menteri Pendidikan Tinggi merangkap wakil komuniti, YBhg Prof. Dr Mohd Izani Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT serta YBrs. Prof. Ts. Dr. Noor Maizura Mohamad Noor, Pro Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UMT.

Majlis Penutup dan Penyampaian Cenderahati yang diadakan bukan sahaja sebagai tanda penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, malah menjadi simbol pengukuhan hubungan strategik antara universiti dan komuniti setempat dalam usaha memelihara kelestarian alam sekitar.

Secara keseluruhannya, Program Kesedaran Marin: Waste to Eco Vibe berjaya mencapai objektif yang digariskan dengan memperkukuh kesedaran alam sekitar, memupuk amalan hijau dalam kalangan generasi muda serta menegaskan peranan mahasiswa UMT sebagai pemangkin perubahan ke arah pembinaan komuniti dan ekosistem marin yang lebih lestari.Sidang Redaksi HEPA mengucapkan tahniah kepada Pusat Pembangunan dan Pemerkasaan Mahasiswa, UMT di atas pelaksanaan program yang cukup bermakna ini.

One thought on “UMT Angkat Kesedaran Marin Melalui Program “Waste to Eco Vibe” di Pulau Pangkor”
  1. Program Waste to Eco Vibe ini merupakan usaha yang sangat baik dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pencemaran plastik, khususnya di kawasan pulau. Penglibatan pelajar sebagai ejen perubahan juga amat positif. Namun, adakah terdapat perancangan untuk meneruskan program ini secara berkala supaya impaknya dapat dikekalkan dalam jangka panjang?

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *