KUALA NERUS, 24 Okt – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menawarkan lebih 1,000 peluang pekerjaan dan hampir 1,000 penempatan latihan industri menerusi penganjuran Career Entrepreneurship and Skills Festival 2026 (CESF’26) X Talentbank yang berlangsung selama dua hari bermula semalam. Program anjuran Pusat Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (UMT-GEM), Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT dengan kerjasama Talentbank itu berlangsung di Dewan Sultan Mizan, UMT, bagi memperluas peluang kerjaya, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar. Sebanyak 21 majikan dan agensi kerajaan serta swasta menyertai festival itu, antaranya Talentbank, Talent Corporation Malaysia (TalentCorp), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Terengganu Human Resource Development Centre (THRDC), Jobstreet Malaysia, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), SME Corporation Malaysia, TEKUN Nasional dan Majlis Amanah Rakyat (MARA). Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBrs Encik Ahmad Rizal bin Adnan, berkata penglibatan sektor swasta dan korporat dalam CESF’26 mencerminkan sokongan pelbagai pihak terhadap usaha meningkatkan kebolehpasaran dan keusahawanan graduan sebagai agenda nasional. “Tahniah kepada UMT kerana berjaya melibatkan sektor swasta dan korporat dalam CESF’26 anjuran bersama Talentbank. Kerjasama dan kolaborasi antara entiti seperti Talentbank, SSM, PERKESO, THRDC dan pelbagai agensi lain menunjukkan sokongan kuat daripada pelbagai pihak untuk meningkatkan kebolehpasaran dan keusahawanan graduan sebagai agenda nasional yang perlu diteruskan pada masa hadapan,” katanya. Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata penganjuran festival itu mencerminkan komitmen universiti dalam menyediakan ekosistem pembangunan keusahawan pelajar yang merangkumi persediaan kerjaya, peningkatan kemahiran dan pembudayaan keusahawanan. “UMT komited memastikan pelajar bukan sahaja memperoleh ilmu dan kemahiran akademik, malah mempunyai daya saing, keyakinan serta keupayaan menyesuaikan diri dengan keperluan industri. Pendedahan secara langsung kepada majikan dan ekosistem keusahawanan seperti ini penting dalam membantu pelajar merancang laluan kerjaya selepas tamat pengajian,” katanya. Selain menawarkan peluang pekerjaan, CESF’26 turut menyediakan kaunter khidmat nasihat perniagaan oleh agensi keusahawanan serta perkhidmatan pendaftaran syarikat secara percuma kepada pelajar dan komuniti yang memenuhi syarat ditetapkan. Pelbagai ceramah keusahawanan dan pameran kerjaya turut diadakan bagi memberikan pendedahan kepada peserta mengenai peluang perniagaan, perkembangan pasaran pekerjaan serta kemahiran yang diperlukan oleh industri. Antara pengisian lain ialah peluncuran program pembangunan kerjaya Starting, Establishing, Finishing (S.E.F.), pertandingan Business Explorace, penyampaian Anugerah Kebolehpasaran Graduan (AGE’25) dan Innovation and Digital Entrepreneurship Awards (IDEA’25). Dalam IDEA’25, Mohammad Noor Irfan bin Mohammad Noor Azam, pengasas Muncah Popcorn, merangkul Anugerah Utama: Ikon Usahawan Siswa UMT 2025 dan Anugerah Syarikat Pemula Siswa Terbaik, dengan membawa pulang wang tunai terkumpul berjumlah RM700. Beliau berkata pengiktirafan berkenaan menjadi dorongan untuk terus mengembangkan perniagaan dan meningkatkan kualiti produk, selain berharap pengalamannya dapat memberi inspirasi kepada mahasiswa lain untuk menceburi bidang keusahawanan. “Pengiktirafan ini menjadi pemangkin untuk saya terus mengembangkan perniagaan dan memperbaiki kualiti produk. Saya berharap pengalaman membina perniagaan semasa bergelar mahasiswa dapat memberi inspirasi kepada pelajar lain untuk berani mencuba, mengenal pasti peluang pasaran dan membina perniagaan yang mampan,” katanya. AGE’25 turut mengiktiraf pencapaian graduan dalam beberapa kategori, antaranya Sains Sosial, Sains dan Teknologi, Bekerja Dalam Bidang, Usahawan, Gaji Pemula, Penyelaras GE Terbaik, Pencapaian Kadar Bekerja Graduan, Pencapaian Kebolehpasaran Graduan dan Piala Pusingan. Penganjuran CESF’26 diharap dapat memperkukuh kerjasama strategik antara universiti, industri dan agensi berkaitan dalam melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing serta berupaya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Tontonan: 16 Navigasi kiriman Penerima Anugerah Pelajaran Diraja UMT Terima Biasiswa Lanjut Pengajian Sarjana di Taiwan