Dungun, 3 Ogos 2025 – Empat buah universiti awam bergabung tenaga dalam memupuk semangat kesukarelawanan dan jati diri mahasiswa melalui penganjuran Program Bakti MADANI @ Pasir Raja, Dungun yang berlangsung selama tiga hari bermula 1 hingga 3 Ogos 2025. Program ini dijayakan dengan sokongan penuh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta kerjasama strategik daripada pelbagai agensi kerajaan serta swasta. Melalui program ini, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) memperkukuh hubungan antara mahasiswa dan komuniti luar bandar, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai-nilai kemanusiaan, kesejahteraan dan perpaduan. Bertempat di Pasir Raja, Dungun, program ini mengetengahkan konsep pembelajaran luar bilik darjah yang memberi peluang kepada mahasiswa untuk menyelami kehidupan sebenar masyarakat desa dan menyumbang secara langsung kepada pembangunan sosial komuniti setempat. Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UMT, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain, antara acara menarik yang dirancang termasuklah aktiviti Keluarga Angkat yang memberi peluang mahasiswa untuk tinggal bersama keluarga angkat dan memahami budaya serta nilai tempatan. aktiviti Gotong-Royong, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak, dan Sukan Rakyat pula dirancang untuk memeriahkan suasana kampung serta mengeratkan silaturahim antara penduduk dan mahasiswa. Program ini juga memfokuskan kepada aspek kesihatan dan kesejahteraan komuniti dengan kolaborasi bersama UMT, UTHM dan UUM melalui pemeriksaan kesihatan seperti Pemeriksaan Gigi, inisiatif AI @ NADI dan Sesi Motivasi Kekeluargaan. Turut diadakan adalah aktiviti Tukar Minyak Hitam Motosikal serta sumbangan Lampu Solar oleh UniMAP sebagai inisiatif sokongan kepada komuniti luar bandar yang sering berdepan cabaran dalam aspek penyelenggaraan kenderaan. Bagi menyemai semangat patriotisme sayangkan alam sekitar, program Bakti MADANI@Pasir Raja turut menyelitkan program Kembara Semarak Merdeka yang telah disertai oleh 33 orang peserta berkonvoi motosikal terdiri dari warga UMT dan guru dari Majlis Permuafakatan Sekolah Rendah (MPSR) Zon Bukit Besi. Turut dianjurkan ialah kempen Kelestarian Sungai (River Care) yang melibatkan pelajar dan penduduk kampung dalam aktiviti pemuliharaan alam sekitar. Program telah diakhiri dengan Kenduri Sekampung, menampilkan keunikan budaya gotong-royong dan makanan tradisional masyarakat setempat. Muhammad Zaki Bin Anuar, pelajar UMT juga salah seorang peserta berpandangan melalui program seperti ini, mahasiswa dapat menjiwai erti sebenar kepimpinan, keprihatinan sosial serta menghargai nilai-nilai kemasyarakatan. Ini adalah selaras dengan matlamat universiti untuk melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga bertanggungjawab kepada masyarakat dan negara. Wakil komuniti yang terlibat, En. Adnan bin Apil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kg. Pasir Raja menzahirkan penghargaan atas kesudian pihak UMT dalam memilih Pasir Raja sebagai lokasi penganjuran program. Menurut beliau juga, program seumpama ini telah dimanfaatkan oleh warga komuniti Pasir Raja dan Kg. Shukor sebaik menerusi pelbagai program yang dianjurkan. Program ini mendapat kerjasama daripada beberapa rakan strategik seperti UMT Holdings, Majlis Permuafakatan Sekolah Rendah (MPSR) Zon Bukit Besi, SK Kg. Pasir Raja, SK Kg. Shukor, Pejabat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Dungun, Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) dari Kg. Pasir Raja, Kg. Shukor, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional – NADI yang turut memberikan sumbangan dalam bentuk tenaga, kepakaran serta logistik. Sidang Redaksi BINGKAS HEPA mengucapkan tahniah kepada JK Kemasyarakatan HEPA atas penganjuran program ini. Tontonan: 2 Navigasi kiriman Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus: Hargai Yang Lama, Angkat Sumpah Yang Baharu Kem Bina Bakat Siswa (BAKAT) Siri 1 Tahun 2026