KUALA TERENGGANU, 13 Oktober 2026 – Seramai 38 ahli Kelab Teater Layar Opera, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyertai lawatan menonton teater muzikal diraja Tawarikh: Sultan Zainal Abidin III di Dewan Kenanga, Terengganu Equestrian Resort (TER), malam tadi. Program anjuran Pusat Kebudayaan dan Kesenian, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT itu bertujuan memberikan pendedahan kepada mahasiswa mengenai seni persembahan teater muzikal, selain meningkatkan pengetahuan dan penghargaan terhadap sejarah serta warisan diraja Terengganu. Pementasan yang dipersembahkan oleh Muzium Negeri Terengganu itu mengetengahkan sejarah diraja negeri berkenaan menerusi gabungan elemen lakonan, muzik, kostum dan seni pentas. Lawatan yang berlangsung dari 8.30 malam hingga 11.30 malam itu turut memberi peluang kepada peserta menyaksikan secara langsung pendekatan kreatif yang digunakan dalam menghidupkan kisah sejarah menerusi seni persembahan. Selain menambah pengetahuan mengenai warisan tempatan, program itu membolehkan ahli kelab meneliti pelbagai aspek produksi teater, termasuk pengarahan, penulisan skrip, susunan muzik serta pengurusan pementasan. Pengalaman berkenaan diharap dapat menjadi sumber inspirasi kepada peserta untuk mengembangkan bakat, meningkatkan kemahiran dan memperkukuh mutu penghasilan produksi teater dalam kalangan mahasiswa UMT. Program itu juga merupakan antara usaha memperluas pengalaman pembelajaran di luar bilik kuliah, khususnya dalam membina apresiasi terhadap seni dan budaya tempatan. Penganjuran lawatan seumpama itu diharap dapat menyemai minat generasi muda terhadap seni persembahan serta menggalakkan penglibatan mahasiswa dalam usaha memelihara dan memartabatkan warisan budaya negeri Terengganu. Tontonan: 6 Navigasi kiriman Staf HEPA UMT Terima Pelbagai Anugerah Pemangkin Budaya Kerja Cemerlang Pelajar UMT Cemerlang di Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) 2026