Kuala Nerus, 20 Julai 2025 – Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT melalui Pusat Pembangunan dan Pemerkasaan Mahasiswa (PPPM) telah menganjurkan Majlis Ikrar Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus (JPRK) sesi 2025/2026 serta Majlis Penghargaan kepada barisan Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus sesi 2024/2025 di Dewan Senat, Canselori. Majlis ini bertujuan menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan dan legasi kepimpinan JPRK sesi terdahulu serta merasmikan pelantikan dan ikrar sumpah jawatankuasa baharu bagi meneruskan kesinambungan kepimpinan mahasiswa yang berwibawa dan berintegriti.

Pilihan Raya Kampus UMT 2024/2025 tempoh hari telah merekodkan 6,823 pengundi daripada 10,229 pelajar (66.70%), dan peratusan murni yang melibatkan pelajar prasiswazah sahaja sebanyak 74.06%, menjadikan UMT universiti awam ke-7 tertinggi. Lebih menarik lagi, pelajar Diploma mencatat penyertaan tertinggi iaitu 90.16%, manakala Fakulti Pengajian Maritim (FPM) menggungguli carta pusat pengajian dengan 75.28% pelajar keluar mengundi.

Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dalam ucapan perasmian beliau telah memberi pengiktirafan kepada peranan strategik oleh pengurusan universiti termasuk pegawai pengurus, urusetia teknikal dan pegawai pemantau semasa proses pilihan raya bagi memastikan proses pengundian berjalan secara adil dan telus. Kejayaan ini boleh dibanggakan sebagai manifestasi profesionalisme dan komitmen bersama.

Beliau turut menyatakan, “JPRK adalah tunjang kepada kredibiliti pembentukan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Apabila pilihan raya dilaksanakan secara telus dan berkesan, ia bukan sahaja melahirkan pemimpin mahasiswa yang berwibawa, malah menyemarakkan semangat demokrasi kampus yang matang dan berintegriti.”

Pada sesi ini, seramai 15 orang Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kampus dan 17 orang Jawatankuasa Pelaksana Pilihan Raya Kampus telah mengangkat sumpah dengan tekad memartabatkan demokrasi kampus melalui kebebasan bersuara, kebertanggungjawaban dan penyertaan luas. Mereka turut berikrar untuk menjalankan kerjasama merentasi fakulti dan membuka ruang dialog secara ilmiah.

Majlis diakhiri dengan seruan penuh harapan agar seluruh warga universiti, khususnya pihak pengurusan, terus berdiri teguh menyokong barisan JPRK dalam menyemai kesedaran dalam kalangan mahasiswa tentang pentingnya budaya mengundi dan kepimpinan berkualiti. Sidang Redaksi HEPA Bingkas mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat atas majlis ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *