CYBERJAYA, 1 Oktober 2026 – Pelajar Tahun 4 Program Sarjana Muda Sains Akuakultur dengan Kepujian, Fakulti Perikanan dan Sains Makanan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Muhammad Zaki bin Anuar, menerima Anugerah Khas Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi sempena Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2026 pada 1 Oktober lepas. Muhammad Zaki merupakan satu-satunya wakil UMT yang berjaya mara sebagai calon akhir bagi pengiktirafan berkenaan sebelum diumumkan sebagai penerima anugerah khas tersebut. Beliau menerima hadiah wang tunai RM1,500 berserta trofi sebagai penghargaan atas pencapaian dan sumbangan beliau sepanjang bergelar mahasiswa. Menurut UMT, kejayaan Muhammad Zaki mencerminkan usaha universiti itu dalam melahirkan mahasiswa yang seimbang dari aspek akademik, kepimpinan, sahsiah, kemahiran insaniah serta keupayaan menyumbang kepada masyarakat. Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2026 dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala penyampaian anugerah disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir bersama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim. UMT dalam kenyataan turut merakamkan penghargaan kepada para pensyarah, pembimbing, pihak pengurusan fakulti serta warga universiti yang memberikan bimbingan dan sokongan kepada Muhammad Zaki sepanjang perjalanan akademik dan kepimpinan beliau. Naib Canselor UMT Profesor Dr Suriyani Muhamad turut hadir memberikan sokongan kepada wakil universiti itu pada majlis berkenaan. Kejayaan Muhammad Zaki sekali gus mengharumkan nama UMT di peringkat kebangsaan serta menjadi pencapaian yang membanggakan warga universiti berkenaan. Tontonan: 4 Navigasi kiriman UMT Lonjak Peranan Mahasiswa Global Terajui Keadilan Biru, Kelestarian ESG Dari Kampus ke 4 Negara : Mahasiswa Perikanan UMT Buktikan Kualiti Kepimpinan di Pentas Antarabangsa