Kuala Terengganu, 16 Julai 2025 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus komited dalam memperkasa budaya sihat dan semangat kebersamaan dalam kalangan warganya menerusi penganjuran Kejohanan Tenpin Bowling Pegawai Kanan Piala Naib Canselor UMT 2025 yang berlangsung dengan penuh semangat kebersamaan dan kemeriahan. Bertempat di Coral Crown Bowl, Aras 9, Paya Bunga Square , Kuala Terengganu, kejohanan ini menghimpunkan seramai 26 pegawai kanan UMT dari pelbagai jabatan dan pusat tanggungjawab. Program ini bukan sahaja menjadi wadah untuk bersaing secara sihat, malah berjaya memperkukuh semangat setiakawan, kerjasama dan jaringan komunikasi antara warga pengurusan universiti. Kejohanan ini menyaksikan saingan yang cukup sengit namun penuh semangat kesukanan dan keceriaan. Duo sensasi antara Prof. Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Encik Fadli Mamat (Ketua Pentadbiran HEPA) berjaya mengungguli kejohanan dengan meraih kejuaraan hasil kerjasama strategik dan persefahaman yang kukuh sepanjang permainan. Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri bin Ibrahim juga tidak kurang hebatnya apabila berjaya menggondol naib johan hasil gandingan bersama Profesor Madya Ts. Dr. Nik Aziz bin Nik Ali (Pengarah, Kolej Kediaman) manakala tempat ketiga berjaya diraih pasangan Profesor Madya Dr. Azizul Yadi bin Yaakop (Pengarah, Pusat Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan) bersama Profesor Madya ChM. Dr. Mohd Zul Helmi bin Rozaini (Pengarah, Pusat Alumni). Bagi kategori master, Encik Borhanuddin bin Mohd Yusof@Mohamed (Pengarah, Pusat Kokurikulum dan Citra Pelajar) telah mempamerkan aksi cemerlang sekaligus dinobatkan sebagai johan mengatasi peserta lain dengan jumlah jatuhan pin tertinggi. Naib Canselor UMT dalam ucapannya menzahirkan penghargaan atas sambutan yang menggalakkan daripada pegawai kanan universiti. Beliau turut menegaskan bahawa keseimbangan antara komitmen kerja dan gaya hidup sihat perlu terus digalakkan dalam ekosistem universiti dan berharap akan diadakan penganjuran sebegini pada masa akan datang. Kejohanan ini merupakan antara inisiatif UMT dalam menyokong pembangunan modal insan yang seimbang dari segi fizikal dan mental, seiring dengan aspirasi universiti untuk melahirkan warga kerja yang sihat, produktif dan berdaya tahan. Sidang Redaksi HEPA mengucapkan tahniah atas penganjuran program ini. Tontonan: 2 Navigasi kiriman Bengkel Kemahiran Asas Pengurusan Sukan Pelajar Menyokong Usaha Pembudayaan Sukan Dalam Kalangan Pelajar dan Komuniti Universiti Majlis Penyerahan Surat Niat (LOI) antara Pusat Sukan dan Rekreasi dan Sekolah Sukan Malaysia Terengganu